
Katanya, nama calon berkenaan dikemukakan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob serta Kementerian Kewangan dan dalam proses pelantikan.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) pada Disember tahun lalu dan April tahun ini.
“Kedua-dua kerajaan Sabah dan Sarawak telah mengemukakan senarai calon mereka dan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) telah pun menyerahkan nama calon tersebut kepada Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan.
Jonnybone yang juga ADUN Telupid berkata demikian susulan seruan pembangkang yang mahu kerajaan negeri mencontohi Sarawak dan mengemukakan calon bagi jawatan lembaga pengarah LHDN.
Beliau berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah melakukan tugas mereka dan menyelesaikan isu berkenaan seperti termaktub dalam MA63 dan perlembagaan.
“Semua pihak telah melakukan tugas mereka dan, mereka (calon dari Sabah dan Sarawak) dalam proses pelantikan. Kerajaan GRS sangat teliti, mereka sedar dan tahu akan hak mereka dan telah bertindak pantas serta sewajarnya.
“Jangan risau, GRS sudah jauh ke hadapan dan telah menguruskan semua perkara,” katanya.