Kerajaan digesa selesai gangguan pengeluaran minyak sawit sebelum tingkatkan eksport

Kerajaan digesa selesai gangguan pengeluaran minyak sawit sebelum tingkatkan eksport

Ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming berkata, pengeluar tempatan minyak sawit dan produk berkaitan masih belum mencapai tahap pengeluaran pra-wabak walaupun ekonomi telah dibuka pada April.

Menurut MPOB, 6.8 juta tan minyak sawit mentah dihasilkan dari Januari hingga Mei – 18.7% kurang daripada 8.3 juta tan dalam tempoh yang sama pada 2019.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming menggesa Putrajaya menyelesaikan masalah kekurangan buruh dan gangguan pengeluaran yang menjejaskan sektor minyak sawit sebelum berusaha meningkatkan eksport produknya.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, pengeluar tempatan minyak sawit dan produk berkaitan masih belum mencapai tahap pengeluaran pra-wabak walaupun ekonomi telah dibuka pada April.

Memetik angka daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), beliau berkata, 6.8 juta tan minyak sawit mentah (MSM) dihasilkan dari Januari hingga Mei – 18.7% kurang daripada 8.3 juta tan dalam tempoh yang sama pada 2019.

“Malah, pengeluaran MSM dari Januari hingga Mei 2022 adalah kurang daripada tempoh yang sama pada 2020,” kata bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu dalam kenyataan.

“Salah satu faedah yang sepatutnya daripada kunjungan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye baru-baru ini ialah peningkatan yang dijangkakan dalam eksport minyak sawit dari Malaysia.

“Namun ini akan terbukti menjadi janji palsu jika isu domestik dalam pengeluaran produk minyak sawit tidak diuruskan dengan berkesan.”

Ong berkata, ini sebahagiannya berpunca daripada kekurangan buruh berterusan dalam sektor itu, yang nampaknya seperti tidak mungkin dapat diselesaikan tahun ini disebabkan kelemahan penyelarasan dalam kalangan kementerian berkaitan.

Beliau berkata, kegagalan dasar ini menjadi faktor kenaikan harga minyak masak disebabkan peningkatan kos pengeluaran.

Putrajaya, katanya, tidak boleh mengulangi kesilapannya seperti langkah menyekat eksport ayam untuk menjamin bekalan tempatan.

“Kita telah melihat kemudaratan akibat larangan eksport ayam, apabila syarikat di negara lain terpaksa mencari sumber eksport alternatif, merugikan pengeluar Malaysia.

“Kerajaan sebaliknya perlu mengambil pendekatan yang lebih proaktif bagi menyelesaikan isu kekurangan buruh dalam sektor minyak sawit serta sektor lain.”

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin sebelum ini menjangkakan kunjungan Ismail ke Turkiye baru-baru ini dapat meningkatkan perdagangan dua hala, terutamanya dalam eksport komoditi Malaysia seperti minyak sawit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.