
Mereka berkata, desakan itu juga timbul kerana gabungan pemerintah persekutuan tidak stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pegangan kuasa mereka sangat bergantung kepada sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Penganalisis politik Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, langkah untuk meletakkan wakil Sarawak dalam lembaga LHDN adalah antara baki lima tuntutan bawah Perjanjian Malaysia 1963.
Perkara ini tidak pernah dituntut selama ini, “hanya sekarang apabila perdana menteri bergantung kepada sokongan GPS untuk terus berkuasa”, katanya kepada FMT.
“Saya yakin Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu Sarawak terus menyokongnya; jika tidak, kerajaannya akan tumbang.
“(Jangan lupa juga) beliau berdepan tekanan daripada partinya (Umno) untuk mengadakan pilihan raya umum sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Oktober.”
Premier Sarawak Abang Johari Openg semalam berkata, kerajaannya telah menamakan wakil ke lembaga LHDN untuk memantau hasil kerajaan persekutuan supaya Sarawak memperoleh bahagian yang adil dalam geran khas tahunan.
Awang Azman berkata, situasi Ismail menjadi lebih goyah apabila didedahkan baru-baru ini bahawa beliau membuat perjanjian dengan Bersatu, tanpa pengetahuan Umno, mengenai jawatan timbalan perdana menteri.
“Dalam konteks ini, Ismail perlu memenuhi tuntutan Sarawak agar kerajaan sedia ada dapat bertahan hingga tahun depan, seperti yang dihasratkan oleh puak Umno yang terdiri daripada menteri-menteri. (Jika kerajaan tidak dapat bertahan) mereka takut kehilangan kedudukan dan kuasa,” katanya.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, keputusan-keputusan dibuat kerajaan Sarawak baru-baru ini jelas menunjukkan mereka tiada kepercayaan terhadap kerajaan persekutuan.
“Sarawak seolah-olah mahu berdiri sendiri, atau mahu jadi negeri yang merdeka,” katanya.
“‘Talian hayat’ GPS adalah penting untuk Barisan Nasional (BN) memerintah buat sedikit masa yang akan datang. Ini banyak memberi gambaran tentang hubungan kerajaan Sarawak dan persekutuan.”
Beliau berkata, wujud kemungkinan negeri lain juga mahukan wakil dalam lembaga LHDN untuk memastikan pengagihan dana yang adil.