Cari isteri tak jumpa, lelaki mengamuk bakar pondok

Cari isteri tak jumpa, lelaki mengamuk bakar pondok

Semakan awal mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan empat rekod dadah.

Keadaan pondok yang dibakar suspek di Taman Seri Astana, Sungai Petani, semalam. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki mengamuk dengan membakar pondok dan memecahkan cermin sebuah kenderaan dipercayai kerana berang tidak dapat menemui isterinya di Taman Seri Astana, Sungai Petani, semalam.

Menurut Ketua Polis Kuala Muda, Zaidy Che Hassan, suspek berusia 54 tahun juga didapati memegang sebilah parang ketika kejadian kira-kira 10.20 pagi itu.

“Suspek sebelum itu dikatakan mencari isterinya di rumah mereka di taman perumahan di situ selain di pasar pagi namun tidak menemuinya.

“Lelaki terbabit kemudian ke kedai makan yang sebelum ini diusahakan bersama isterinya dan masih tidak menjumpai wanita berkenaan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Kata Zaidy, suspek yang berang itu terus mengamuk dengan membakar sebuah pondok di belakang kedai makan milik mereka.

“Suspek yang merupakan seorang penganggur turut memecahkan cermin kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria milik orang awam yang diletakkan berdekatan kedai makan tersebut,” katanya.

Menurutnya, suspek melarikan diri ke kawasan semak di belakang pondok yang dibakarnya sebelum ditahan polis.

“Ketika ditahan suspek tidak melawan dan mengaku bertindak sedemikian kerana tertekan akibat masalah rumah tangga. Polis turut merampas sebilah parang dan semakan awal mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan empat rekod dadah,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 435/427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.