ADUN Upko, DAP akan bawa usul batal Perjanjian Petronas

ADUN Upko, DAP akan bawa usul batal Perjanjian Petronas

Sekiranya usaha itu gagal mereka mempertimbangkan untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan perjanjian.

ADUN Kadamaian dan ADUN Luyang berkata semua undang-undang diluluskan di Parlimen berkaitan hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 harus diluluskan di DUN sebelum ia dikuatkuasakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
ADUN Upko dan DAP akan mengusulkan pembatalan Perjanjian Petronas yang ditandatangani dan diluluskan di Parlimen pada 1974 dalam sidang DUN akan berlangsung minggu depan.

ADUN Kadamaian Ewon Benedick dan ADUN Luyang Phoong Jin Zhe dalam kenyataan bersama berkata, usul berkenaan dibuat sebagai menyahut cabaran bekas ketua menteri Harris Salleh yang mencabar supaya mengusulkan pembatalan perjanjian itu di DUN.

“Kami mengambil maklum kenyataan bekas ketua menteri, Harris yang menyatakan bahawa Perjanjian Petronas ditandatangani bagi melaksanakan Akta Pembangunan Petroleum yang diluluskan di Parlimen pada tahun 1974.

“Beliau menyatakan bahawa wakil-wakil rakyat Sabah pada ketika itu juga menyokong keputusan tersebut.

“Harris juga menyatakan agar kami mengemukakan usul di DUN bagi membatalkan Perjanjian Petronas dan kami terima cabaran itu, kami akan usulkan pada sidang DUN yang berlangsung 18 hingga 21 Jul ini,” katanya.

Ewon dan Phoong berkata, semua undang-undang yang diluluskan di Parlimen yang berkaitan dengan hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) haruslah terlebih dahulu diluluskan di DUN sebelum ia dikuatkuasakan.

Kata mereka, sekiranya ianya tidak diluluskan di peringkat DUN, maka akta berkenaan seharusnya tidak boleh dikuatkuasakan di negeri ini.

“Kami tetap berpendirian bahawa Perjanjian Petronas yang ditandatangani oleh Harris dan Joseph Pairin Kitingan merupakan satu kesilapan besar yang telah merugikan rakyat Sabah sehingga kini.

“Wakil-wakil rakyat yang bersetuju dengan keputusan itu juga turut sama bertanggungjawab atas kesilapan berkenaan.

“Sabah memerlukan kepimpinan yang tegas dan tidak mudah akur kepada kehendak kerajaan persekutuan, apatah lagi jika ianya hanya memberi keuntungan kepada Putrajaya sahaja,” kata mereka.

Ewon dan Phoong berkata, sekiranya usaha mereka membawa usul itu di DUN tidak berjaya, mereka akan mempertimbangkan untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan Akta Pembangunan Petroleum dan Perjanjian Petronas terutama ianya dibuat semasa Ordinan Darurat berkuatkuasa yang mana kini sudah dibatalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.