
Tidak terkecuali buat Qawiatul Atiqah Jaffri, 31, pemilik Amani Cats World kini mampu menjana pendapatan lumayan dengan membersihkan sangkar kucing dari rumah ke rumah.
Beliau yang sudah lali dengan bau najis kucing berkata, setiap pekerjaan mempunyai cabarannya tersendiri.
“Pekerjaan ni ibarat tidak bekerja sebab saya memang mempunyai minat mendalam terhadap kucing. Saya rasa sangat seronok dengan pekerjaan ini. Kehidupan seharian saya, dari pagi hingga malam, menguruskan kucing,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, idea perniagaan itu bermula dari seorang rakan yang menceburi bidang sama sejak empat tahun lalu, ditambah dengan dirinya yang obses dengan kucing.
“Saya memiliki 58 ekor kucing di rumah menyebabkan saya tidak mempunyai masalah dalam menguruskan kucing. Ilmu berkaitan kucing ini kebanyakan saya rujuk pakar veterinar,” katanya.
Atiqah dan suaminya, Ahmad Faizal Azman, 36, turut menawarkan perkhidmatan mendandan, hotel kucing dan penghantaran kucing dari mana-mana negeri di Semenanjung, termasuk menemani si manja bagi urusan di klinik veterinar.

Katanya, bayaran bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan antara RM15 hingga RM450, bergantung keperluan pelanggan.
Atiqah berkata, jadual hariannya padat kerana setiap hari perlu ke rumah pelanggan yang telah membuat tempahan untuk pelbagai servis yang ditawarkan.
Katanya, dia lebih selesa bekerja tanpa terikat dengan majikan kerana mampu menguruskan masa dengan lebih baik.
“Ada baiknya berniaga sendiri, ramai kawan saya ada ‘anxiety’, terlalu stres sebab bekerja dengan orang, jumlah kos sara hidup yang tinggi dan bagaimana mereka nak capai kehidupan yang mereka kehendaki kerana gaji sikit, tapi cara hidup terlalu mahal. Jadi, dengan berniaga, mereka mungkin boleh tingkatkan kehidupan mereka.”

Ketika ditemui FMT, Atiqah bersama pekerjanya, Wan Adam Syahmi Wan Roshaimi, 21, sedang membersihkan sangkar yang diduduki 20 ekor kucing di rumah pelanggannya di Sungai Buloh sebagai persediaan menghadapi Aidiladha.
Wan Adam berkata, rakan seusianya menerima hakikat keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kesukaran mendapat pekerjaan menyebabkan mereka perlu meneroka peluang baharu untuk menjana pendapatan.
“Mungkin dari situ kita dapat gaji, dari situ rezeki kita…Kalau orang cakap pekerjaan kita pelik, jangan rasa ‘down’, teruskan buat kerja dan yakin dengan pekerjaan yang kita pilih, asalkan kita minat, semua jalan.”