Gagal tangani konflik antara punca perceraian pasangan muda

Gagal tangani konflik antara punca perceraian pasangan muda

Pengerusi Focus On Family Malaysia berkata, cara pasangan menyelesaikan konflik hubungan adalah faktor utama menentukan kelangsungan perkahwinan mereka.

Pengerusi Focus On Family Malaysia, Lee Wee Min berkata, kekangan kewangan serta kurang pemahaman terhadap pasangan sendiri juga antara punca yang mendorong kepada perceraian dalam kalangan pasangan, khususnya bagi mereka yang berkahwin pada usia muda.
PETALING JAYA:
Trend perceraian dalam kalangan pasangan muda ataupun pertimbangan untuk bercerai pada usia muda semakin meningkat dan seolah-olah menjadi penyelesaian ketika mereka mengalami konflik rumah tangga, kata sebuah pertubuhan bukan untung.

Pengerusi Focus On Family Malaysia, Lee Wee Min berkata, kurangnya pendidikan dalam hubungan praperkahwinan boleh menyumbang kepada perceraian pasangan muda kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan mencukupi dalam menangani cabaran hidup bersama.

“Disebabkan itu, mereka mudah terpengaruh dengan media sosial mahupun pihak ketiga sehingga menjejaskan hubungan.

“Kekangan kewangan serta kurang pemahaman terhadap pasangan sendiri juga antara punca yang mendorong kepada perceraian dalam kalangan pasangan, khususnya bagi mereka yang berkahwin pada usia muda,” kata Lee kepada FMT.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsudin memberitahu Dewan Rakyat hampir 140 perceraian difailkan sehari dari Mac 2020 hingga Ogos tahun lepas.

Kajian 2016 oleh Psychology Today mencadangkan pasangan berkahwin sebelum umur 28 tahun lebih berkemungkinan bercerai berbanding mereka yang berkahwin agak lewat dalam hidup, manakala kajian pada 2013 yang menemu bual 52 pasangan bercerai turut mendapati korelasi kuat antara perkahwinan muda dengan perceraian awal.

Menurut Lee, keputusan untuk bercerai selepas membina rumah tangga bukan perkara mudah bagi kedua-kedua pihak kerana ia menjadi jalan terakhir bagi pasangan yang berhadapan konflik rumah tangga, sama ada tiada persefahaman mahupun disebabkan tekanan emosi yang dihadapi akibat masalah kewangan.

“Malangnya, anak antara individu yang banyak terkesan akibat perceraian ibu bapa. Mereka mungkin sukar memahami mengapa ibu bapa mesti berpisah dan seterusnya mengalami kesusahan, kemarahan, kebimbangan mahupun ketidakpercayaan.

“Kajian turut membuktikan kanak-kanak mampu membesar dengan baik serta mencapai kejayaan dalam kehidupan, sekiranya mereka hidup dalam suasana yang harmoni dan penuh kasih sayang daripada ibu bapa,” katanya.

Kaedah atasi perceraian

Lee menekankan kepentingan bagi pasangan mengenal pasti timbulnya konflik dalam kehidupan harian tidak selalunya bersifat negatif kerana kadangkala konflik itu boleh membawa kebaikan kepada hubungan mereka.

Tambahnya, cara pasangan menyelesaikan konflik hubungan adalah faktor utama menentukan kelangsungan perkahwinan mereka.

“Adalah baik untuk mendapatkan bantuan kaunseling sekiranya hubungan antara pasangan menemui jalan buntu.

“Bagaimanapun, perkara yang paling penting ialah penerimaan kekurangan pasangan kerana faktor kekurangan itu yang menjadi kunci agar mereka lebih peka, saling mengerti mahupun melengkapi satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, penerimaan itu bukan bermaksud mengabaikan semua kelemahan dalam pasangan, tetapi menyedari tiada manusia yang sempurna di dunia ini.

Katanya, pasangan muda wajar menghadiri kursus praperkahwinan dengan pasangan lebih tua sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum perkahwinan untuk membina persefahaman baik antara satu sama lain.

“Sekiranya pasangan bergelut untuk mengatasi perbezaan mereka ketika mengambil kursus praperkahwinan, mungkin mereka akan dinasihatkan membuat pertimbangan serius sama ada mereka perlu menyelesaikan perbezaan mereka dulu sebelum mengambil keputusan beralih ke fasa seterusnya (pertunangan atau perkahwinan),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.