
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) Razali Mohd Sham, berkata syor itu dicadangkan kepada TH supaya amalan “kartel” dalam soal pemilihan agensi pelancongan untuk menjadi PJH dapat dihapuskan.
Katanya, saranan itu juga bertujuan mengelak tindakan tidak bertanggungjawab agensi pelancongan yang mempromosikan pakej haji furada sehingga berlaku insiden jemaah terkandas.
“Tibalah masanya sistem ‘kartel TH’ yang diamalkan oleh TH dirombak tanpa birokrasi bagi memberi peluang kepada agensi pelancongan yang lain pula menjadi PJH dan tidak hanya tertumpu kepada yang sedia ada saban tahun.
“Bagi mengelakkan insiden (jemaah haji terkandas) berulang saban tahun, Papuh mengesorkan kepada TH untuk lebih terbuka bagi memilih agensi pelancongan yang belum menjadi PJH setiap tahun.
“Papuh mengesyorkan setiap agensi pelancongan yang menjadi PJH mesti diulang ganti setiap dua tahun,” katanya menurut Berita Harian.
Kelmarin, polis mengesahkan menerima 57 laporan berkaitan kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji terhadap sebuah agensi pelancongan swasta yang membabitkan kerugian lebih RM2.37 juta.
Ia susulan kira-kira 380 bakal jemaah haji yang dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu, dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.
Mereka dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota diperoleh TH.
Mengulas lanjut, Razali berkata, visa haji jemputan adalah visa yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi kepada individu berkepentingan.
Katanya, ia tidak semudah disangka bagi sesiapa yang ingin memohon visa haji jemputan kerana ia hak mutlak Kedutaan Arab Saudi dan tiada kaitan dengan TH.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan lima proses dalam permohonan visa haji jemputan iaitu mendapat surat kelulusan visa jemputan dari Kedutaan Arab Saudi; menghantar passport jemaah ke Kedutaan Arab Saudi bersama surat kelulusan; membeli pakej haji dan membuat bayaran melalui portal Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi; visa haji jemputan (visa mujamallah) dikeluarkan secara digital/cetak; dan bakal jemaah terbang bagi mengerjakan ibadah haji.