
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, Mohd Shahrul Adzli Mustaffa, 38, yang berada di bahagian kaki belakang lembu turut terpelanting sejauh hampir dua meter.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia dan petugas Program Ibadat Qurban dan Akikah Masjid Kampung Butut memegang lembu yang ke-15 ekor untuk disembelih.
“Secara tiba-tiba haiwan berkenaan bertindak agresif. Bukan sekadar saya ditendangnya, haiwan itu juga kembali bangun dan mujurlah petugas berpengalaman kendalikan situasi ini.
“Insiden ditendang lembu begini kali pertama dihadapi. Walaupun terpaksa berjalan terhincut-hincut selepas kejadian syukurlah tidak berlaku kecederaan serius,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Butut Mohd Ala-uddin Othman berkata, sebanyak 20 ekor lembu dan dua ekor kambing disembelih pada Hari Raya Aidiladha kali ini melibatkan 50 petugas serta tiga tukang sembelih.
Ujarnya, program berkenaan menjadi acara tradisi di masjid itu sejak lebih 10 tahun lalu dan sambutan lebih meriah pada tahun ini berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.