
Katanya, tidak patut kedai makan di negeri itu menggunakan cara sedemikian sebagai mengulas kelakuan wanita bersama pelanggannya yang tidak senonoh dalam kejadian yang tular di Setiu, baru-baru ini.
“Saya amat berharap, sekiranya kedai-kedai ini ada masalah menarik orang, jangan guna cara sedemikian. Perlulah terokai cara media sosial, bermoral dan berakhlak, bukan dengan cara seperti itu,” katanya dalam sidang media yang dimuat naik di media sosial.
Samsuri berkata, konsep “amal makruf nahi mungkar” merupakan tugas semua masyarakat bukan hanya terletak pada penguat kuasa semata-mata.
“Sama-sama ambil peranan. Sekiranya berlaku di luar Terengganu juga adalah sama juga, tanggungjawab kita sebagai orang Islam,” katanya.
Pada 6 Jul, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) melakukan serbuan di kedai makan selepas tular video dua pelanggan memeluk bahu dan pinggang seorang wanita.
Jabatan itu sudah mengambil keterangan wanita berusia 30-an itu selepas dia ditahan di premisnya.
Sementara itu, dalam meraikan sambutan Aidiladha, Samsuri mengingatkan rakyat negeri itu untuk mengurus sampah mereka dengan baik termasuk membuat pengasingan sampah.
“Saya minta seluruh warga Terengganu untuk jaga disiplin berkaitan pengurusan sampah, masukkan dalam bekas sepatutnya, asingkan aluminium tak bersama makanan kerana ia lebih mudah diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.