Konsep ‘acuan tempatan’ hak asasi manusia oleh ketua Suhakam salah, kata ahli Parlimen

Konsep ‘acuan tempatan’ hak asasi manusia oleh ketua Suhakam salah, kata ahli Parlimen

Minggu lalu, Rahmat Mohamad dilaporkan berkata, beliau akan memastikan hak asasi manusia di Malaysia dibentuk mengikut 'acuan tempatan' dan bebas daripada 'tekanan politik'.

Kasthuri Patto menyifatkan kenyataan Rahmat Mohamad yang baru dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai ‘mengejutkan’ bagi sebuah negara yang menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).
PETALING JAYA:
Seorang ahli Parlimen mengkritik Rahmat Mohamad berhubung kenyataan yang dibuat susulan pelantikannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang baharu.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto menyifatkan kenyataan itu sebagai “mengejutkan” dan “malapetaka” bagi sebuah negara yang menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

Minggu lalu, Rahmat dilaporkan berkata, beliau akan memastikan hak asasi manusia di negara ini dibentuk mengikut “acuan tempatan” dan bebas daripada “tekanan politik”.

“Ini adalah kenyataan buruk yang datang daripada ketua Suhakam yang baharu, ketua suruhanjaya yang berkuasa dan berpengaruh yang sepatutnya bertindak sebagai suara untuk semua,” kata Kasthuri dalam kenyataan.

“Beliau keliru mengenai apa itu kesejagatan hak asasi manusia dan dan ia bukan sekadar pemahamannya.”

Katanya, barisan Suhakam yang baharu katanya, mesti bekerja keras untuk memastikan mereka mengekalkan status “Gred A” ketika ini supaya ia tidak dipandang sebagai cukup memalukan.

Status ini membolehkan negara menyertai semakan rakan antarabangsa mengenai hak asasi manusia, khususnya Semakan Berkala Sejagat (UPR).

“Penurunan kepada ‘Gred B’ bermaksud Malaysia akan hilang keistimewaan ini dan tidak mungkin menduduki UNHRC juga,” katanya.

Katanya, pasukan Suhakam yang baharu mesti melobi kerajaan untuk membentangkan laporan hak asasi manusia Suhakam 2021 di Parlimen supaya ia boleh dibahaskan.

Beliau berkata, Suhakam juga mesti mengadakan rundingan secara berkala dengan ahli Parlimen, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan pihak berkepentingan lain dalam melaksanakan agenda hak asasi manusia.

“Mereka juga mesti melobi peruntukan bajet tambahan untuk Suhakam yang mesti dimasukkan dalam bajet negara. Pesuruhjaya juga mesti menggesa kerajaan untuk meratifikasi enam baki konvensyen hak asasi manusia PBB.”

Rahmat, profesor undang-undang di Universiti Teknologi Mara, telah dikecam sejak pelantikannya kerana mengarang bersama satu kertas kerja pada 2019 yang meyakinkan Majlis Raja-raja untuk menolak ratifikasi Statut Rom, di mana Malaysia akan bersetuju dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.