
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Nas, 29, berkata kebanyakan ejen agensi pelancongan menyertai pakej haji dengan syarikat pelancongan terbabit juga telah terpedaya dengan harapan dan janji palsu pihak pengurusan.
Namun, katanya, kepada yang tidak mengetahui proses sebenar, mungkin ramai akan bertindak menyalahkan pihak ejen, sekali gus memberi imej buruk kepada agensi pelancongan lain.
“Kami berfungsi sebagai ejen, pengurusan tiket, permohonan visa adalah di bawah tanggungjawab agensi syarikat terbabit, tetapi pada yang tak tahu proses… ramai yang akan menyalahkan ejen walhal kami juga antara mangsa,” katanya ketika dihubungi FMT.
Menurut Nas, pihaknya juga terpaksa menanggung keseluruhan kos penginapan kumpulan jemaahnya yang terpaksa menginap di hotel berdekatan, sementara menunggu penerbangan ke Tanah Suci seperti dijanjikan itu.
“Masa itu saya cuba menenangkan jemaah, beberapa hari kami dekat situ saya tanggung sendiri penginapan untuk jemaah saya,” katanya sambil mendakwa bahawa syarikat pelancongan terbabit menggunakan “nama-nama besar” untuk meraih kepercayaan orang ramai.
Jelas Nas, kumpulan jemaahnya bernasib baik kerana pihaknya masih belum membuat pembayaran penuh kepada syarikat pelancongan terbabit sehingga visa diterima.
Katanya, pengurusan visa furada telah diberikan kuota oleh pihak kedutaan, justeru ia bergantung kepada ketelusan pihak agensi pelancongan bagaimana mahu menguruskannya.
Mengulas lanjut, Nas berkata, permohonan dan pengurusan visa furada memang rumit, disebabkan itu agensi pelancongan yang membawa jemaah perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak kedutaan Arab Saudi.
“Proses visa furada memang rumit sebab kita bukan melalui Tabung Haji, kita terus berurusan dengan kedutaan, jadi jangan bagi harapan dulu pada jemaah, kena telus kalau permohonan visa tak lepas kena jujur maklum pada jemaah,” katanya.
Semalam, FMT melaporkan polis telah menahan lima individu dipercayai terlibat dalam kes bakal jemaah haji Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.
Ketua Polis Wangsa Maju Ashari Abu Samah, berkata tangkapan ke atas kelima-lima suspek dibuat malam tadi dan seorang daripada mereka adalah pemilik syarikat pelancongan terbabit.
Khamis lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan selepas dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).