
Kenyataan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan, bekalan air di kebanyakan kawasan di negeri itu telah berjaya dipulihkan namun sembilan lokasi, iaitu lapan di daerah Barat Daya dan satu di daerah Seberang Perai Selatan masih terganggu setakat 6 petang tadi.
“PBAPP masih lagi berusaha untuk memastikan bekalan air dapat dipulihkan ke kawasan yang mengalami gangguan bekalan sejak Rabu lalu,” katanya di Facebook rasmi PBAPP hari ini.
Rabu lalu, operasi LRA di Sungai Dua terpaksa dihentikan selama empat jam berikutan kadar kekeruhan air mentah yang tinggi susulan insiden banjir dan fenomena kepala air di Baling.
Menurut PBAPP, bagi mengurangkan kesulitan pengguna yang terjejas, bekalan air bersih akan diagih menggunakan lori tangki perbadanan itu, Pertubuhan Bomba Sukarela, Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
“PBAPP turut mengagihkan bantuan air minum berbotol melalui pejabat ADUN di kawasan yang terjejas di daerah Barat Daya dan Seberang Perai Selatan. Bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada hospital, pusat dialisis dan kecemasan lain seperti urusan jenazah,” katanya.
Lokasi yang masih terjejas ialah Relau, Persiaran Kelicap, Jalan Kenari, Kampung Matahari Naik, Puspakom, Batu Hitam, Casia Sunway dan Permatang Damar Laut di daerah Barat Daya manakala daerah Seberang Perai Selatan melibatkan lokasi di Kompleks Penjara.