15 keluarga mangsa kepala air ditawar rumah kontena sementara, kata Abdul Azeez

15 keluarga mangsa kepala air ditawar rumah kontena sementara, kata Abdul Azeez

Ahli Parlimen Baling itu bagaimanapun berharap kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak mengambil masa lama menyediakan tapak lebih sesuai bagi mendirikan kediaman baharu.

Keluarga terjejas itu akan ditawarkan rumah kontena buat sementara yang akan dibina di pekarangan Masjid Raudhatul Falah, Kampung Iboi, Kupang, kata Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.
BALING:
Sebanyak 15 keluarga yang hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air, di sini, Isnin lalu, akan ditawarkan tempat tinggal sementara.

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya bercadang mendirikan rumah kontena untuk semua keluarga tersebut di perkarangan Masjid Raudhatul Falah, Kampung Iboi, Kupang.

“Penempatan sementara itu bagi membolehkan mereka tinggal lebih selesa selepas beberapa hari tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai.

“Saya akan berbincang dengan semua 15 keluarga terbabit bagi mendapatkan persetujuan mereka dan pihak masjid juga telah memberikan kebenaran. Kedudukan kawasan itu juga tinggi, jadi ia adalah selamat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Raudhatul Falah di Kampung Iboi, Kupang.

Beliau berkata, pembinaan rumah kontena itu diharap dapat disiapkan dalam tempoh dua minggu dan akan dilengkapi kemudahan asas agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan selesa.

Azeez bagaimanapun berharap, kesemua penduduk terbabit tidak dibiarkan tinggal terlalu lama di rumah tersebut, sekali gus menyeru kerajaan persekutuan dan negeri menyediakan tapak lebih sesuai untuk didirikan kediaman baharu.

“Bagi rumah mangsa banjir yang rosak pula, banyak agensi berkaitan terutama di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyediakan peruntukan atau bantuan membaik pulih kerosakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan semua mangsa banjir yang terjejas akan menerima sumbangan pelbagai peralatan termasuk televisyen dan kelengkapan memasak.

“Insya-Allah kami sudah mula edarkan sejak dua hari lepas, pada hari ini pun kami akan edarkan barangan keperluan mendesak ini untuk mereka menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.