Kanak-kanak 18 bulan hilang, dikhuatiri jatuh sungai

Kanak-kanak 18 bulan hilang, dikhuatiri jatuh sungai

Kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Jude Angle disedari hilang oleh neneknya kira-kira jam 8.30 pagi selepas menyedari pintu rumah terbuka dan mangsa tidak ditemui di sekitar kawasan rumah.

Pasukan bomba menjalankan operasi mencari kanak-kanak berusia 18 bulan yang dilaporkan hilang di Beaufort, hari ini. (Gambar Facebook Bomba Beaufort)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan dikhuatiri terjatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumah di Kampung Batu 66, di Beaufort, Sabah hari ini.

Kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Jude Angle disedari hilang oleh neneknya, 8.30 pagi selepas menyedari pintu rumah terbuka dan mangsa tidak ditemui di sekitar kawasan rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Muhammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, 11.19 pagi.

“Bapa mangsa memaklumkan dia dan isteri pada ketika itu sedang berniaga di Tamu Beaufort dan anak mereka itu dijaga oleh mentuanya.

“Mentuanya menyedari kanak-kanak itu tiada di rumah dan pintu dalam keadaan terbuka pada 8.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dimulakan pada 12.30 tengah hari di sekitar tepi sungai dan kawasan kebun.

“Pakaian terakhir yang dipakai mangsa adalah baju berwarna putih dengan lambang kartun dan berseluar warna biru.

“Operasi SAR dipecahkan kepada tiga kumpulan yang turut dianggotai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort dan penduduk kampung.

“SAR dijalankan dengan menyusuri tepi Sungai Padas dan kawasan tanaman pokok pisang serta kelapa sawit pada radius dua kilometer,” katanya.

Muhammad Hasbullah berkata, sehingga kini kanak-kanak itu masih belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.