Jemaah terkandas: 57 laporan diterima, kerugian lebih RM2 juta

Jemaah terkandas: 57 laporan diterima, kerugian lebih RM2 juta

Laporan tertinggi diterima di Selangor iaitu 25, diikuti Kuala Lumpur dan Pahang.

Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Pahang catat jumlah kerugian tertinggi iaitu RM874,000 diikuti Kuala Lumpur RM766,500 dan Selangor RM620,000. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menerima 57 laporan di seluruh negara berhubung penipuan pakej menunaikan haji melibatkan dua buah agensi pelancongan swasta yang terkandas, pada Khamis.

Setiausaha polis Bukit Aman, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, nilai kerugian dilaporkan bakal jemaah haji itu dianggarkan RM2.37 juta.

“Laporan tertinggi diterima di Selangor iaitu 25, diikuti Kuala Lumpur (23), Pahang (empat), manakala masing-masing satu laporan di Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Johor, dan Terengganu.

“Pahang mencatatkan jumlah kerugian keseluruhan tertinggi mengikut negeri iaitu RM874,000 diikuti Kuala Lumpur RM766,500 dan Selangor RM620,000,” katanya menurut kenyataan.

Hari ini, FMT melaporkan, enam sekeluarga masih berasa terkilan apabila wang kira-kira RM300,000 yang dibayar kepada sebuah agensi pelancongan untuk menunaikan haji, hangus begitu saja selepas terkandas bersama beratus bakal jemaah lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Seorang daripada ahli keluarga yang mahu dikenali sebagai Azwan, berkata mereka mengambil masa hampir enam tahun untuk mengumpul wang itu.

Katanya, mereka kecewa dengan apa yang berlaku apatah lagi pemergian mereka ke Tanah Suci juga telah diberitahu kepada jiran terdekat serta sanak saudara yang lain.

Menurutnya, ada beberapa tawaran pakej haji ditawarkan antaranya RM16,000, RM25,000, RM35,000, dan sehingga RM60,000. Mereka antara hampir 400 bakal jemaah haji terkandas.

Semalam, sejumlah 23 laporan diterima polis berhubung kes itu apabila menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.