Kes Covid-19 baharu lepasi paras 4,000, tertinggi sejak April

Kes Covid-19 baharu lepasi paras 4,000, tertinggi sejak April

Daripada 4,020 kes baharu yang dicatatkan setakat semalam, 4,011 ialah kes tempatan dan sembilan kes import.

Setakat ini, negara telah mencatatkan sebanyak 4,586,322 kes Covid-19.
PETALING JAYA:
Sebanyak 4,020 kes Covid-19 baharu dicatatkan semalam, kali pertama melepasi paras 4,000 selepas 4,006 kes direkodkan pada 24 April.

Kes baharu yang dicatatkan terdiri daripada 4,011 kes tempatan dan sembilan kes import.

Jumlah ini menyusuli 1,918 kes yang direkodkan pada Isnin, 2,932 pada Selasa dan 3,561 pada Rabu.

Tiga kematian turut dilaporkan, dengan dua daripadanya di luar hospital (BID), menjadikan jumlah keseluruhan kematian setakat ini 35,795.

Secara keseluruhan, kes Covid-19 di negara ini meningkat 25% sepanjang seminggu lalu.

Setakat tengah malam tadi, terdapat 33,839 kes dilaporkan masih aktif, dengan 1,156 dimasukkan ke hospital.

Daripada jumlah ini, 45 kes berada di dalam unit rawatan rapi (ICU), 23 antaranya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 1,718 kes sembuh dilaporkan semalam.

Setakat ini, negara telah mencatatkan sebanyak 4,586,322 kes Covid-19.

Di Twitter semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berpesan kepada orang ramai agar terus berwaspada ketika menyambut Hari Raya Aidiladha minggu ini untuk mengelak jangkitan Covid-19.

“Pakai pelitup muka apabila (berada) di kawasan tertutup dan sesak, amalkan #TRIIS,” katanya, merujuk kepada amalan uji (Test), lapor (Report), asing (Isolate), maklum (Inform), dan dapatkan rawatan (Seek).

“Lakukan ujian kendiri sebelum balik kampung.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.