Federasi Ternakan Ayam jamin harga ayam lebih murah, tangani ‘orang tengah’, kata Noh

Federasi Ternakan Ayam jamin harga ayam lebih murah, tangani ‘orang tengah’, kata Noh

Menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata, federasi itu akan dianggotai koperasi dan pengusaha yang terlibat dengan ternakan ayam serta pemborong.

Noh Omar berkata, federasi ini ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, akan membeli ayam dari ladang dan dikumpulkan di pusat itu sebelum diedar dan dijual terus kepada pengguna.
PETALING JAYA:
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengambil inisiatif dengan menubuhkan Federasi Ternakan Ayam bagi menangani “orang tengah” sekali gus membolehkan pengguna menikmati harga ayam lebih rendah di pasaran.

Federasi yang mampu mengurangkan kos ternakan ini juga, akan dianggotai koperasi dan pengusaha yang terlibat dengan ternakan ayam serta pemborong, kata menterinya, Noh Omar.

Kata Noh lagi, ia akan bekerjasama bagi pengoperasian pusat pengumpulan dan pengedaran ayam di setiap negeri.

“Federasi ini ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, akan membeli ayam dari ladang dan dikumpulkan di pusat itu sebelum diedar dan dijual terus kepada pengguna.

“Di setiap negeri sudah ada pusat federasi dan kami sedang buat satu perjanjian bersama dengan 15 pihak koperasi dan syarikat lain yang terlibat, Insya Allah dalam masa terdekat ia akan dilaksanakan,” katanya menurut laporan Bernama.

Selain itu, Noh berkata, kementeriannya juga akan membawa masuk ayam sejuk beku dari luar negara ke pusat pengumpulan dan pengedaran tersebut bagi memberi pilihan untuk pengguna selain ayam segar.

“Macam daging juga, kami ada daging segar dan daging beku tetapi ayam beku itu nanti kami akan pastikan harganya lebih murah berbanding ayam segar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.