Didakwa tipu RM58,000, bekas pemain beregu negara mengaku tak bersalah

Didakwa tipu RM58,000, bekas pemain beregu negara mengaku tak bersalah

Lin Woon Fui didakwa atas dua tuduhan menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan, dan berdepan hukuman penjara, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Lin Woon Fui (memakai pelitup muka putih) bersama peguam Rajpal Singh di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM:
Bekas pemain badminton kebangsaan Lin Woon Fui hari ini didakwa atas dua tuduhan menipu membabitkan hampir RM60,000 di Mahkamah Sesyen di sini.

Lin, pemain beregu yang kini menjadi jurulatih sepenuh masa, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Anas Mahadzir.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menipu Lee Yang Sheng dengan meyakinkannya bahawa wangnya boleh dilipat ganda melalui pertaruhan dalam talian yang tidak wujud dan memujuknya untuk memindahkan RM28,029 ke akaun bank milik isterinya antara 6 Jun dan 8 Jun 2016.

Bagi tuduhan kedua, Lin didakwa menipu Lee dengan meyakinkannya bahawa dia boleh melipatgandakan wangnya melalui perdagangan saham yang tidak wujud dan memujuknya untuk memindahkan RM30,000.53 ke akaun banknya antara 28 Nov dan 29 Nov, 2016.

Tuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan Lin diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan kes ditetapkan pada 17 Ogos.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras Jamri, manakala Rajpal Singh dan Chandrateeban Baskaran mewakili Lin.

Lin mencapai kedudukan keempat dunia bersama pasangan beregunya, Fairuzizuan Mohd Tazari pada 2006.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.