Cubalah ternak ayam, penternak beritahu Anwar

Cubalah ternak ayam, penternak beritahu Anwar

Mereka memprotes gelaran ‘pencekik darah’, dan menegaskan tidak mampu beroperasi dalam kerugian.

Jeffrey Ng, penasihat Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia berkata, penternak ayam hanya orang biasa yang menjalankan perniagaan, bukannya badan kebajikan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penternak ayam menyelar Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim kerana menggelar mereka “pencekik darah” dan menuduh golongan itu menyimpan stok untuk menaikkan harga ayam.

Jeffrey Ng, penasihat Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia berkata, pihak yang menyalahkan pembekal ayam atas kenaikan harga itu patut cuba menjalankan perniagaan itu sendiri.

“Kami hanya orang biasa yang menjalankan perniagaan, bukannya badan kebajikan. Kami masih perlu menyara keluarga dan pekerja. Adakah itu perbuatan pencekik darah?” soalnya.

Anwar pada Selasa menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap pembekal ayam yang tidak berprinsip, bukannya peruncit dan pemborong susulan kenaikan harga ayam.

Ng menafikan penternak ayam memanipulasi pasaran dan berkata, tiada sebab untuk pembekal menyimpan stok ayam kerana itu hanya akan meningkatkan kos memandangkan haiwan itu masih perlu diberi makan.

Selain itu, katanya, menyimpan ayam akan mengakibatkan ternakan itu melebihi saiz pasaran dan seterusnya menyebabkan mereka disoal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Tambahnya, harga pasaran menjadi kucar-kacir kerana lonjakan permintaan selepas pelbagai acara kini dapat diadakan semula, susulan pelbagai perintah kawalan pergerakan akibat Covid-19 sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penternak Unggas Johor, Lau Ka Leng menyifatkan kenyataan Anwar tidak wajar, memandangkan penternak ayam telah bersetuju tidak meraih keuntungan tinggi demi membantu pengguna melalui tempoh sukar.

“Kami boleh mengambil untung yang sedikit, tetapi tidak bolehlah beroperasi dalam kerugian, tetapi inilah yang berlaku kepada sesetengah daripada kami, petani dan penternak.

“Kerajaan begitu bimbang orang ramai tidak mampu makan ayam sehingga tidak memandang hakikat bahawa pengguna mungkin tiada ayam langsung untuk dibeli nanti,” katanya.

Jelasnya, negara mungkin terus hilang bekalan ayam tempatan, sekiranya penternak berputus asa kerana langsung tidak lagi menguntungkan.

Selain itu, katanya, subsidi yang diberikan kepada penternak dikongsi dengan integrator (firma yang mempunyai kontrak bekalan ayam dengan penternak) dan Lau mendakwa firma itu cenderung mengambil kebanyakan subsidi.

“Bagi integrator, memandangkan kos setiap ekor ayam telah dihitung dan termasuk dalam kontrak, kami tidak memerlukan subsidi. Hakikatnya kebanyakan kontrak tidak mempertimbangkan risiko lain seperti penyakit.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.