
Naib Ketua Pemuda Gombak yang baharu, Khairul Anwar Rosnan berkata kebimbangan yang disuarakan oleh ramai ahli berhubung ketiadaan ketelusan oleh jawatankuasa pemilihan parti adalah wajar.
“Jawatankuasa itu tidak membenarkan fasilitator bebas atau wakil calon untuk memantau dan memastikan proses pengauditan adalah telus,” katanya dalam kenyataan semalam.
Khairul juga mendakwa, sikap berdiam diri ramai pemimpin parti menimbulkan tanggapan bahawa “ada unsur-unsur tertentu memainkan peranan”.
Beliau berkata, jawatankuasa pemilihan menerima 1,799 aduan berhubung percanggahan data semasa pengundian.
“Kepimpinan mesti ingat bahawa setiap ahli parti berhak mengetahui perkara sebenar.
“Mengapa hanya undi secara fizikal diaudit dan bukannya undi dalam talian?” soalnya sambil menambah, jawatankuasa pemilihan mesti mempunyai penjelasan kukuh mengenai perkara itu.
Beliau mencadangkan jawatankuasa itu membenarkan pakar audit forensik digital daripada setiap pasukan calon memerhatikan kiraan undi.
Sebelum ini, bakal timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menggesa parti itu supaya tidak mengendahkan “bunyi bising” dibuat oleh mereka yang kalah dalam pemilihan.
Beliau berkata, sangat malang mereka yang tewas tidak dapat menerima kekalahan dan terus mendesak Presiden PKR Anwar Ibrahim supaya mengadakan pemilihan semula atau audit forensik.
Katanya, mereka sebaliknya perlu berusaha untuk mendapatkan semula kepercayaan orang ramai terhadap parti.
Rafizi, yang juga bekas ahli Parlimen Pandan, berkata mereka yang kalah ingin mewujudkan persepsi bahawa kemenangannya adalah disebabkan manipulasi.
Semalam, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengumumkan bahawa keputusan pemilihan itu telah “dimuktamadkan” susulan audit forensik bebas yang dijalankan.