
Dalam kenyataannya, Shafie berkata, ketika ini seramai 292 guru rakyat Sabah layak untuk diambil secara kontrak, namun hanya kurang 40 sahaja diambil tugas oleh Kementerian Pendidikan.
Menggambarkan kekurangan guru di Sabah sudah mencapai tahap kritikal, bekas ketua menteri itu berkata, tiada alasan untuk tidak mengambil guru tempatan mengajar di Sabah.
“Ia akan menyelesaikan masalah pemindahan guru dari negeri lain ke Sabah yang membabitkan kos tinggi. Tambahan pula, kerajaan sudah berjanji menyokong nisbah guru tempatan kepada guru bukan asal Sabah kepada 90:10.
“Cukup memalukan sekiranya perkara pendidikan sekali pun kerajaan gagal memberi perhatian serius kepada Sabah. Mereka cukup mudah tidak mahu mendengar masalah dan rakyat terus menderita,” katanya.
Shafie berkata demikian susulan mesyuarat maya bersama guru tempatan yang menyuarakan kekecewaan selepas hampir kesemua mereka gagal diambil sebagai guru kontrak perkhidmatan.
Sambil merujuk kepada sekolah daif di negeri berkenaan, Ahli Parlimen Semporna itu mendakwa kemudahan pendidikan Sabah sering diabaikan.
Pada Mei, Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin, berkata ada sejumlah 4,932 kekosongan guru dengan 2,400 daripadanya akan diisi menerusi guru kontrak perkhidmatan.