
Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara berkata, sekiranya pergeseran itu berlanjutan, hasrat dua gabungan berkenaan untuk bekerjasama pada pilihan raya akan datang mungkin akan berkecai. Katanya, pemimpin PBS dan BN perlu mengawal situasi berkenaan kerana sentimen mengenainya mungkin akan berterusan serta mengeruhkan lagi hubungan.
“Ini adalah satu indikasi dan mungkin ‘wake-up call’ untuk GRS, tapi masih terlalu awal untuk mengatakan dua parti berkenaan tidak akan bekerjasama pada PRU15 akan datang.
“BN merupakan sebuah gabungan nasional dengan ‘jenama politik’ mereka sangat dikenali, tidak mengejutkan jika mereka bergerak sendiri sekiranya tidak dapat bekerjasama dengan GRS,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Presiden PBS Maximus Ongkili dalam ucapannya sempena kongres perwakilan tahunan parti itu, baru-baru ini, mendakwa sebuah komponen BN telah menggunakan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sabah untuk kepentingan politik mereka.
Ongkili yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) turut mendakwa BN selama ini gagal menangani masalah Pati di Sabah.
Sementara itu, Tony turut berpendapat, kenyataan Ongkili itu boleh dilihat dari dua sudut iaitu sebagai mesej kuat, serta refleksi kepada sebahagian perjuangan asal PBS.
“Dari sudut kedua pula, ini juga boleh dilihat sebagai membuka jalan kepada PBS untuk menimbang kerjasama politik baharu selain daripada kerjasama atau pakatan sedia ada. Harus diingat sebelum ini Warisan pernah menawarkan kepada PBS untuk kerjasama politik,” katanya.
Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata pergeseran antara PBS dan BN sudah pastinya menjejaskan hasrat kerjasama GRS-BN pada PRU15 tetapi bukan bermaksud peluang kerjasama terbabit sudah tertutup.

Katanya, GRS dan BN sedar kerjasama antara mereka boleh memberi kelebihan dan sekiranya mereka bertembung pula, ia akan memberi kelebihan kepada Warisan.
“Pemimpin kedua-dua belah pihak harus fokus kepada mencari penyelesaian dan bukannya provokasi untuk mengeruhkan keadaan kerana mereka harus sedar mereka ini umpama aur dengan tebing dan saling memerlukan.
“Selain itu, PBS boleh dikatakan umpama meludah ke langit sekiranya tiba-tiba ingin bekerjasama dengan Warisan pada PRU15 terutamanya apabila mereka begitu lantang menentang PSS (Pas Sementara Sabah) sebelum ini,” katanya.
Lee berkata, tindakan Ongkili, baru-baru ini, itu sebenarnya bukanlah satu kesalahan kerana PBS ingin meneruskan agenda mengatasi Pati yang diperjuangkan selama ini.
“Mungkin benar wujud dakwaan ‘Projek IC Mahathir’ yang banyak dibincangkan selama ini tetapi besar kemungkinan pemimpin Umno sekarang tidak tahu mengenainya, mungkin ia berlaku pada 1990-an untuk menjatuhkan kerajaan PBS ketika itu.
“Apa yang berlaku pada ketika ini seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang positif iaitu peluang untuk membuka semula fail termasuk laporan RCI dan ini juga kesempatan untuk membersihkan daftar pengundi daripada pengundi hantu mahupun pengundi yang meragukan sekiranya ada,” katanya.