Skandal 1MDB: Tarikh jatuh hukum ke atas Leissner ditangguh hingga Februari

Skandal 1MDB: Tarikh jatuh hukum ke atas Leissner ditangguh hingga Februari

Hukuman pada asalnya dijadual dijatuhkan pada Rabu, namun hakim daerah AS Margo Brodie di Brooklyn, New York, menangguhkannya ke 15 Feb tanpa penjelasan.

Sejak ditahan oleh pihak berkuasa AS pada Jun 2018, bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner telah dibebaskan dengan jaminan USD20 juta. (Gambar Bloomberg)
NEW YORK:
Penjatuhan hukuman ke atas bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner berhubung peranannya dalam skandal rasuah 1MDB telah ditangguhkan sehingga tahun depan.

Hukuman ke atas Leissner, yang mengaku bersalah atas tuduhan terbabit pada 2018 dan memberi keterangan terhadap bekas rakan sekerjanya, Roger Ng, pada asalnya dijadual dijatuhkan pada Rabu, tetapi hakim daerah Amerika Syarikat Margo Brodie di Brooklyn, New York, menangguhkannya ke 15 Feb tanpa penjelasan.

Tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Leissner membawa hukuman maksimum penjara berdekad-dekad. Bagaimanapun, tempoh penjara bagi bekas pengerusi Asia Tenggara Goldman itu berkemungkinan akan dikurangkan kerana dia bekerjasama dengan pendakwa raya.

Dia memberi keterangan selama lebih seminggu pada perbicaraan Ng, mengenai perjanjian 1MDB dan komplot mereka dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, untuk menyeleweng dana 1MDB.

Peguam Leissner, Henry Mazurek, enggan memberikan komen pada Rabu.

Ng, satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung skandal global 1MDB, didapati bersalah pada April oleh juri persekutuan selepas dua bulan dibicarakan. Minggu lepas, Brodie menetapkan hukuman akan dijatuhkan ke atas Ng pada 9 Nov.

Sejak ditahan oleh pihak berkuasa AS pada Jun 2018, Leissner telah dibebaskan dengan jaminan USD20 juta.

Brodie bulan lepas membenarkan permintaan Leissner untuk mengubah suai jaminannya, membenarkannya berpindah ke Texas untuk pekerjaan baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.