Kumpulan hak asasi ikrar terus bantah hukuman mati

Kumpulan hak asasi ikrar terus bantah hukuman mati

Brian Yap daripada Amnesty International Malaysia berkata kumpulan itu tidak akan berdiam diri walaupun hukuman mati terhadap seorang lagi rakyat Malaysia dijadual berlangsung esok.

Upacara menyalakan lilin diadakan di pekarangan Suruhanjaya Tinggi Singapura, malam ini, sebagai tanda sokongan kepada Kalwant Singh.
KUALA LUMPUR:
Kumpulan hak asasi manusia berkata mereka tetap akan meneruskan bantahan terhadap hukuman mati, walaupun seorang lagi rakyat Malaysia dijadual digantung di Singapura, esok.

Kalwant Singh akan digantung di negara kota itu selepas Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir menangguhkan hukuman.

Lelaki berusia 32 tahun itu didapati bersalah memiliki 60.15gm diamorfin dan menyeludup 120gm dadah berkenaan.

Dia ditahan ketika berusia 23 tahun dan menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun.

Wakil Amnesty International Malaysia, Brian Yap, berkata hukuman mati tidak boleh dipertahankan dan tidak menyelesaikan sebarang masalah.

“(Walaupun) sekiranya kami tidak mampu menghalang hukuman mati esok, kami tetap akan berterusan melakukan bantahan.

“Kami tidak akan berdiam diri, kami akan berterusan menyuarakan bantahan terhadap hukuman mati,” katanya dalam acara vigil untuk Kalwant di luar pekarangan Suruhanjaya Tinggi Singapura, di sini.

Yap menegaskan gesaan untuk kerajaan Singapura menghapuskan hukuman mati, sambil menyatakan mereka yang dikenakan hukuman ke tali gantung menjadi mangsa atau berada dalam keadaan cukup terdesak.

Acara vigil itu menyaksikan pembabitan 15 wakil daripada Rangkaian Anti Hukuman Mati Asia, Lawyers for Liberty, Suara Rakyat Malaysia dan Amnesty International, yang turut membawa plakad dan lilin sebagai tanda sokongan kepada Kalwant.

Dalam perhimpunan yang berlangsung selama 30 minit itu, mereka melaungkan, “Singapura sila hentikan pembunuhan” dan “selamatkan, selamatkan Kalwant”, sambil memegang plakad berbunyi, “hentikan hukuman mati Kalwant Singh”, “Putrajaya selamatkan Kalwant” dan “Singapura jangan membunuh lagi”.

Sebelum ini, seorang rakyat Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam, juga digantung di Singapura, pada 27 Apr, kerana menyeludup heroin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.