Jenazah ibu, bayi 3 bulan dikebumi dalam satu liang lahad

Jenazah ibu, bayi 3 bulan dikebumi dalam satu liang lahad

Bapa mangsa Rosman Ahmad berkata mereka sekeluarga reda dengan pemergian anak ketiga dan cucunya serta meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu.

Ahli keluarga menyiram air di pusara wanita dan bayinya berusia tiga bulan selepas pengebumian dua beranak itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, malam tadi. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Suasana pilu menyelubungi pengebumian bayi berusia tiga bulan dan seorang wanita yang disyaki dibunuh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, kelmarin.

Jenazah Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan anak lelakinya Hans Mohd Thakif Amir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu dalam satu liang lahad pada kira-kira 8.10 malam tadi.

Bapa mangsa Rosman Ahmad, 58, berkata mereka sekeluarga reda dengan pemergian anak ketiga dan cucunya serta meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu.

Terdahulu, jenazah dua beranak itu dibedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah sebelum disembahyangkan di Masjid Kampung Bakar Batu.

Isnin lalu, polis menahan seorang lelaki di kawasan Permas Jaya beberapa jam selepas mayat kedua-dua mangsa ditemui di hadapan rumah mereka.

Tukang cuci kapal berumur 24 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan bogel pada 2.45 petang dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripadanya.

Lelaki itu direman tujuh hari hingga 11 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.