Bencana Baling bukan kawasan buat ‘konten’, polis beri amaran

Bencana Baling bukan kawasan buat ‘konten’, polis beri amaran

Ketua Polis Baling Shamsudin Mamat berang dengan tindakan pihak tertentu masuk ke kawasan bencana untuk 'konten' tanpa memberikan sebarang bantuan kepada mangsa.

Polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang masuk ke lokasi bencana demi ‘konten’ semata-mata mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis memberi amaran keras kepada pengguna media sosial yang berkunjung ke kawasan bencana di Baling hanya semata-mata demi “konten”.

Ketua Polis Baling, Shamsudin Mamat, menggambarkan tindakan itu sebagai tidak bermoral.

Katanya, polis mempunyai peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap individu atau kumpulan yang berkunjung ke lokasi bencana, namun tidak membantu mangsa yang dalam kesusahan.

“Kepada mereka yang mempunyai kepentingan diri tanpa rasa belas ihsan kepada mangsa banjir yang sedang dilanda kesusahan, cukup-cukuplah tuan-tuan menyusahkan pihak berkuasa dengan berlegar-legar di kawasan dilanda musibah ini tanpa sebarang tujuan semata-mata untuk mempopularkan diri.

“Tuan-tuan mengatakan telah berada di tempat musibah dan membantu mangsa banjir, sedangkan tuan-tuan tidak berbuat apa-apa,” katanya menurut Astro Awani.

Shamsudin berkata, polis boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima rungutan daripada mangsa dan pasukan bertugas bahawa terdapat individu yang datang dan merakam serta mengambil gambar untuk disebarkan di media sosial bagi meraih populariti.

Malah, katanya ada antara mereka yang melakukan perbuatan menyebarkan berita palsu daripada gambar diambil tanpa mengetahui kesahihannya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, setakat petang tadi, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Baling menerima lebih 30 permohonan daripada badan bukan kerajaan (NGO), perseorangan dan agensi swasta untuk membantu kerja pembersihan rumah penduduk selain menyalurkan sumbangan kepada penduduk terjejas dalam kejadian kepala air di 12 kampung.

Polis akan memberi kebenaran kepada mereka yang mempunyai surat untuk memasuki kawasan bencana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.