Banjir Baling: 2 LRA henti tugas akibat air keruh

Banjir Baling: 2 LRA henti tugas akibat air keruh

Operasi LRA Kulim Hi-Tech serta LRA Pinang Tunggal dihenti tugas pada jam 10.50 malam dan 11.10 malam berikutan kadar kekeruhan air mentah (NTU) yang tinggi.

Loji rawatan air (LRA) di Kulim Hi-Tech dan Pinang Tunggal, Sungai Petani terpaksa dihenti tugas akibat kejadian banjir di Baling, kelmarin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lebih 200,000 pengguna sekitar Kulim Hi-Tech dan Pinang Tunggal, Sungai Petani mengalami gangguan bekalan air selepas operasi kedua-dua loji rawatan air (LRA) di kawasan berkenaan terpaksa dihenti tugas malam tadi, akibat kejadian banjir di Baling, kelmarin.

Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor berkata, operasi LRA Kulim Hi-Tech serta LRA Pinang Tunggal dihenti tugas pada jam 10.50 malam dan 11.10 malam berikutan kadar kekeruhan air mentah (NTU) yang tinggi selepas bencana berkenaan.

“Penutupan sementara ini akan menjejaskan 80,000 akaun di Kulim Hi-Tech dan 121,000 akaun pengguna di Pinang Tunggal.

“Pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan membuat penghantaran air terawat melalui lori dan tangki ke kawasan yang terjejas akibat daripada langkah ini,” katanya di Facebook.

Bencana banjir di Sungai Kupang, Baling kelmarin, mengorbankan tiga sekeluarga termasuk seorang ibu hamil empat bulan di Kampung Iboi, selepas rumah mereka dihanyutkan arus deras.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.