Pembiayaan politik: Mengapa perlu dikawal selia?

Pembiayaan politik: Mengapa perlu dikawal selia?

FMT meneroka tafsiran pembiayaan politik, mengapa Malaysia memerlukan undang-undang untuk mengawal selianya dan bagaimana undang-undang tersebut boleh berfungsi.

Walaupun sukar untuk dibuktikan, wang sudah tentu menjadi antara punca besar ketidakstabilan politik, kata Thomas Fann daripada Bersih.
PETALING JAYA:
Gesaan agar undang-undang berhubung pembiayaan politik diwujudkan timbul berikutan laporan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak menerima sumbangan politik sebanyak USD681 juta (RM2.99 bilion) dalam akaun peribadinya.

Namun, tujuh tahun dan empat kerajaan kemudian – dan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan menjelang September 2023 – masih tiada tanda-tanda penggubalan akta pembiayaan politik.

Pada 19 Mei, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Jemaah Menteri Mengenai Anti-Rasuah pada dasarnya mempersetujui rang undang-undang pembiayaan politik. Tambahnya, cadangan itu akan dibincangkan dalam Jemaah Menteri sebelum libat urus diadakan dengan parti politik.

FMT meneroka tafsiran pembiayaan politik, mengapa Malaysia memerlukan undang-undang untuk mengawal selianya dan bagaimana undang-undang tersebut boleh berfungsi.

Apa itu undang-undang pembiayaan politik?

Pembiayaan politik, atau pendanaan politik, merujuk kepada cara parti dan ahli politik mengumpul wang bagi kempen pilihan raya, operasi harian dan kegiatan lain.

Undang-undang pembiayaan politik mengawal selia cara parti dan ahli politik menerima dan menggunakan dana dengan memastikan sumber dana dan sumbangan, serta jumlah diterima didedahkan.

Penyokongnya berhujah bahawa penting untuk memastikan parti dan ahli politik bertanggungjawab, memastikan ketelusan berhubung dana dan mencegah penyelewengan, sogokan, penipuan atau penyalahgunaan kuasa membabitkan pembiayaan.

Undang-undang di negara lain

Jerman mempunyai peruntukan undang-undang yang mengawal selia kewangan parti dengan mengutamakan ketelusan. Parti dikehendaki menyediakan laporan tahunan mengenai semua dana, termasuk pendapatan, perbelanjaan, hutang dan aset, dan mendedahkan identiti penderma.

Di Australia, sumbangan politik bernilai AUD1,000 (RM3,171) atau lebih daripada sumber asing adalah dilarang. Sumber asing ditakrifkan sebagai individu yang tidak mempunyai kaitan dengan negara atau entiti yang tidak mempunyai perniagaan yang signifikan di Australia.

Akta sumbangan politik di Singapura menyekat campur tangan asing dalam politik tempatan, termasuk larangan terhadap sumbangan daripada pihak yang tidak diketahui berjumlah lebih SGD5,000 (RM15,975).

Adakah Malaysia perlu undang-undang pembiayaan politik?

Thomas Fann daripada kumpulan reformasi pilihan raya Bersih berkata, undang-undang penting untuk menangani rasuah.

“Jika kita tidak mengawal selia dana politik, parti dan ahli politik akan terus menerima wang daripada individu korporat atau kaya, yang kemudiannya boleh menjurus kepada rasuah melalui pemberian kontrak lumayan apabila mereka berada dalam kerajaan,” katanya kepada FMT.

Fann berkata, penting agar dana dihalang bertukar tangan untuk kepentingan politik. Tambahnya, undang-undang juga boleh membantu mengawal “politik wang” atau pemberian wang tunai kepada pengundi semasa pilihan raya dan mengelakkan kemungkinan lompat parti.

“Wang ialah insentif utama bagi wakil rakyat untuk melompat parti. Walaupun sukar untuk dibuktikan, wang sudah tentu menjadi antara punca besar ketidakstabilan politik,” katanya.

Apa yang penting dalam undang-undang pembiayaan politik?

Fann berkata, undang-undang itu mestilah jelas dan tidak samar-samar, dan menyentuh mengenai pendedahan, pelaporan, pemantauan dan penguatkuasaan membabitkan kedua-dua parti dan ahli politik.

Pembiayaan asing, katanya, tidak seharusnya diharamkan, kerana ia mungkin menjejaskan parti baharu atau yang lebih kecil. Sebaliknya, ia boleh dihadkan kepada jumlah tertentu.

Untuk sumbangan daripada pembekal kerajaan sedia ada, Fann mencadangkan had RM50,000 ke atas sumbangan daripada entiti korporat kepada parti politik atau calon.

Beliau berkata, penderma yang memberi sumbangan kurang RM500 boleh kekal tanpa nama, tetapi bagi sumbangan melebihi jumlah itu, sumbernya mesti didedahkan.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC), katanya, harus dilarang memberi sebarang sumbangan kepada ahli politik dan parti politik.

Katanya, GLC adalah penjaga dana awam, jadi tidak wajar bagi mereka memihak kepada mana-mana parti politik dengan memberi sumbangan kepada satu parti tetapi bukan yang lain.

“(Dana itu) bukan hak mereka untuk didermakan bagi kegiatan politik,” tambahnya.

Siapa yang patut mengawal selia pembiayaan politik?

Fann mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditugaskan untuk mengawal selia, memantau dan menguatkuasakan undang-undang pembiayaan politik tetapi ia mesti bebas daripada cabang eksekutif.

Beliau juga menggesa agar jawatankuasa ombudsman bebas ditubuhkan sebagai satu lagi saluran bagi orang ramai melaporkan pelanggaran undang-undang.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis juga patut ditugaskan dengan penguatkuasaan, sambil menambah, semua institusi ini harus menjawab kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.