100 tong bahan buangan disyaki punca Sungai Chandong bertukar merah

100 tong bahan buangan disyaki punca Sungai Chandong bertukar merah

Bahan buangan seperti cat, dakwat, asid terpakai dan minyak hitam mengakibatkan Sungai Chandong bertukar warna merah.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata penemuan dalam operasi di sebuah premis di Pelabuhan Klang hampir menyelesaikan misteri pencemaran air merah di Sungai Chandong. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Misteri Sungai Chandong, Pulau Indah, bertukar merah terbongkar susulan penemuan 100 tong “Intermediate Bulk Container” (IBC) berisi pelbagai buangan seperti cat, dakwat, asid terpakai dan minyak hitam, dalam sebuah premis di Pelabuhan Klang.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menemui semua bahan buangan itu yang disyaki mencemarkan Sungai Chandong, dalam serbuan dijalankan semalam.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata dalam operasi bermula 6.30 petang hingga 10 malam itu, sebuah lori tangki turut ditemui dalam premis yang dipercayai dijadikan pusat pengumpulan buangan terjadual tanpa kebenaran.

Katanya, operasi turut disertai anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu turut menemui kesan buangan pigmen berwarna merah pada penutup bahagian lori tangki berkenaan.

“Beberapa sampel buangan juga diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bagi analisis kimia komposisi buangan.

“Siasatan atas kesalahan mengikut Seksyen 34B, 34A, Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 kini tertumpu kepada pemilik premis dan pengendali haram yang terbabit,” katanya menurut Berita Harian.

Mengulas lanjut, Nor Aziah berkata, sejak kejadian pencemaran yang dilaporkan pada 29 Jun lalu, sebanyak 14 premis sekitar Klang dan Shah Alam digempur pegawai JAS, namun tidak menemui kegiatan yang mencurigakan.

Katanya, penemuan dalam operasi itu hampir menyelesaikan misteri pencemaran air merah di Sungai Chandong.

“Saya berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

“Pihak JAS memandang serius dan sentiasa mengambil tindakan tegas serta tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar.

“Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800- 88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan air Sungai Chandong bertukar merah dipercayai tercemar angkara perbuatan tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, air sungai berkenaan kembali normal susulan air pasang pada hari sama (29 Jun).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian dalam kenyataan pada 30 Jun lalu, memaklumkan kejadian disyaki daripada aktiviti pembuangan efluen di kawasan perindustrian Pulau Indah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.