
Hasnah Ismail, 58, berkata sebaik melihat air naik dengan cepat dan memasuki rumahnya, dia dan suami memanjat pokok rambutan berhampiran rumah mereka.
“Bila nampak pokok rambutan macam nak tumbang, makcik dan pakcik cuba berpaut pada kayu balak hanyut, tapi tangan pakcik terlepas dan dihanyutkan arus banjir,” katanya di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai dekat sini, malam tadi.
“Mujurlah dia sempat mencapai ranting buluh, makcik pula hanyut bersama kayu balak sebelum berpaut pada pokok pinang…lebih kurang sejam juga kami kesejukan di dalam air menunggu sehingga pasukan penyelamat datang menyelamatkan kami kira-kira pukul 8 malam tadi.”
Menurutnya, dia cuba menjerit meminta pertolongan, namun tiada siapa yang mendengar dan hanya mampu menunggu diselamatkan, malah suaminya, Che Nai Isa, 59, juga hanya berpaut pada ranting buluh.
“Makcik hanya ingat mati masa itu, tak nampak siapa yang boleh tolong…namun rasa bersyukur bila nampak bot penyelamat datang dan selamatkan kami berdua.
“Sambil menahan sejuk di dalam air banjir, belakang mak cik beberapa kali berlanggar dengan kayu balak hanyut, mujur kami berdua tak cedera,” katanya.
Hasnah berkata, dia tinggal di Kampung Padang Empal sejak kecil dan sering menyaksikan kejadian banjir di situ, namun banjir kali ini yang terburuk.
“Selalu kalau air naik sampai buku lali atau betis, ini kali pertama naik sampai ke bumbung rumah, tak tau apa nasib 30 ekor kambing di dalam kandang, barang dalam rumah semua tak sempat diselamatkan, termasuk dua motosikal.
“Duit tunai kira-kira RM2,000 hasil jualan kambing baru-baru ini pun dihanyutkan air banjir,” katanya.
Tambahnya, mujur anaknya, Nor Alia, 20, orang kurang upaya sejak lahir, diselamatkan seorang saudara lelakinya lebih awal.
“Dia gendong anak saya, walaupun masa itu air sudah naik ke paras leher…alhamdulillah dua-dua selamat,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Siti Mariam Abdul Isa, 70, berkata suaminya yang lumpuh separuh badan sejak sembilan tahun lepas terendam dalam air banjir sewaktu dia bersama anak dan cucu lelakinya sibuk memindahkan barang ke tempat lebih tinggi.
“Kami terlupa yang pakcik tidur di atas tilam di lantai…bila sedar sahaja, terus kami bertiga angkat dan bawa dia ke tingkat atas rumah, dia menggigil juga sebab sejuk terendam dalam air banjir.
“Sebelum air naik, makcik suapkan nasi untuk pakcik, tak sangka air naik cepat sangat. Anak dan cucu masa tu sedang angkat motosikal yang baru dibeli sebulan lepas ke tingkat atas rumah. Tapi dengan motosikal itu sekali tenggelam dalam banjir,” katanya.
Siti Hajar Said, 32, tidak sempat menyelamatkan semua harta bendanya, termasuk kucing dan arnab kesayangan anak-anaknya juga gagal dijumpai.
“Hujan turun pada 4 petang, dalam 5 petang air mula naik, tak sampai setengah jam air sudah naik sampai bumbung rumah.
“Semua enam rumah yang terletak dekat dengan sungai, semuanya tenggelam. Kali terakhir banjir di sini sebelum raya puasa lepas, tapi tidak seteruk banjir kali ini,” katanya.