Keputusan ketua Wanita PKR berubah selepas dinilai pakar digital, kata JPP

Keputusan ketua Wanita PKR berubah selepas dinilai pakar digital, kata JPP

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Dr Zaliha Mustafa berkata pakar digital mempunyai parameternya tersendiri bagi menilai semula keputusan diterima sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan terbaharu itu adalah daripada apa yang auditor jumpa dan mereka gunakan perincian secara sains. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bukan pihak yang mengubah keputusan susulan berlaku perubahan jawatan ketua Wanita PKR, sebaliknya ia berdasarkan dapatan audit forensik terhadap semua keputusan pemilihan.

Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa berkata pakar digital yang dilantik mempunyai parameternya yang tersendiri bagi menilai kembali keputusan yang diterima sebelum ini.

“Ia adalah keputusan daripada apa yang auditor jumpa, mereka gunakan perincian secara sains. Bila buat parameter ia tidak melihat kepada jawatan dan keputusan yang keluar, kita lihat ada terkena pada bahagian dan juga ketua wanita.

“Jadi, JPP mengambil saranan daripada auditor. Kita juga persoalkan auditor kenapa ambil tindakan begitu, kita persoalkan, dan ada penjelasan diberikan,” katanya kepada FMT.

Zaliha berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail yang menuntut penjelasan jawatankuasa itu berkaitan perubahan keputusan jawatan ketua Wanita PKR yang memihak kepada pencabarnya, Fadhlina Sidek.

Menurut Zaliha, Rodziah masih belum menghantar surat memohon penjelasan daripada JPP berhubung perkara tersebut.

Keputusan audit forensik yang keluar semalam menyaksikan berlaku beberapa perubahan dalam keputusan awal pemilihan sehingga menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak termasuk bekas ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang mendakwa jawatankuasa itu mengabaikan aduan dan bantahan dibuat ke atas pengundian atas talian (PAT) menerusi aplikasi Adil.

JPP buat perkara betul

Mengulas perkara itu, Zaliha berkata pihaknya telah meneliti semua aduan dan bantahan menerusi panel aduan yang dibentuk.

Jelasnya, ada antara tindakan yang diambil namun tidak diuar-uarkan kepada umum, namun dalam kes pemilihan semula Bahagian Ampang perlu dimaklumkan kepada semua ahli kerana ia melibatkan banyak pihak.

“Kita terima 1,800 aduan dan bantahan. Dalam banyak-banyak aduan itu ada aduan yang sama, jadi panel aduan bahagikan ikut kategori. Ada aduan yang telah diambil tindakan.

“Saya rasa tuduhan kata kita tidak ambil tindakan itu tak tepat,” katanya.

Zaliha ketika ditanya berkaitan tindakan pihak dalam parti yang mempertikaikan keupayaan JPP mengurus pemilihan berkata pihaknya telah melakukan yang terbaik berdasarkan perlembagaan dan undang-undang PKR.

“Dalam JPP kita buat perkara yang betul, dalam bertanding ada kalah menang. Saya cuma ada dua pilihan, kalau saya ambil yang ni, pihak ini akan kecewa. Kalau ambil belah sini, orang ini pula kecewa.

“Saya tak boleh ambil keputusan tergantung, jika tak bagaimana parti nak bergerak ke hadapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.