
Katanya, tidak munasabah belasan juta ringgit dibelanjakan bagi tujuan pemberian cenderahati berupa jam tangan itu seperti didakwa.
“Saya turut kesal dengan tohmahan mengatakan orang ramai diberi jam tangan ‘G-Shock’ yang saya fikir tidak munasabah kerana ia pastinya melibatkan kos cukup besar mencecah belasan juta ringgit jika mahu diberikan sebagai cenderahati kepada lebih 30,000 pengunjung di pelancaran PN Kelantan,” katanya yang juga timbalan menteri pertahanan.
Menurut laporan Astro Awani, beliau berkata kehadiran orang ramai adalah bagi menghargai bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, yang disifatkan banyak menyumbang jasa kepada rakyat dalam menguruskan pandemik Covid-19.
Ikmal berkata, seminggu sebelum acara itu berlangsung, beliau sudah menguar-uarkan secara meluas kepada orang ramai khususnya di Tanah Merah bahawa Muhyiddin yang juga pengerusi PN akan hadir bagi melancarkan PN peringkat negeri Kelantan.
“Pada hari berkenaan juga, saya mengumumkan sekali lagi akan berlangsung majlis pelancaran tersebut. Terserah kepada orang ramai yang hadir di mesyuarat berkelompok Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah di lokasi yang sama untuk menghadiri pelancaran berkenaan atau pulang.
“Bagaimanapun orang ramai tidak berganjak, malah lebih ramai yang datang. Kehadiran mereka adalah secara sukarela dan bukannya terdapat pemberian jam tangan ‘G-Shock’ atau payung seperti mana didakwa,” katanya.
Sementara itu, berhubung hadiah cabutan bertuah pula, Ikmal berkata, dalam banyak program melibatkan rakyat kebiasaannya ia akan ada acara sedemikian bagi memeriahkan majlis.
Begitupun, katanya ia perlu difahami jika program atau penganjurnya tidak disukai oleh rakyat, betapa besar pun hadiah disediakan, orang ramai tetap tidak akan hadir.