Cadangan kerja 4 hari seminggu perlu dilihat secara holistik

Cadangan kerja 4 hari seminggu perlu dilihat secara holistik

Cadangan itu yang mendapat bantahan beberapa pihak termasuk Cuepacs kini di peringkat penelitian dan kajian.

Jabatan Perkhidmatan Awam sentiasa terbuka untuk mendapatkan input menyeluruh daripada pihak berkepentingan bagi mengkaji secara empirikal kebolehlaksanaan cadangan waktu bekerja empat hari seminggu.
PETALING JAYA:
Cadangan waktu bekerja empat hari seminggu perlu dilihat secara holistik terutama dari segi kesesuaian serta keberkesanannya terhadap struktur perkhidmatan awam di negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Shafiq Abdullah, berkata cadangan itu sebelum ini mendapat bantahan beberapa pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan ia kini sedang di peringkat penelitian dan kajian sahaja.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa terbuka untuk mendapatkan input menyeluruh daripada pihak berkepentingan bagi mengkaji secara empirikal kebolehlaksanaan cadangan itu.

“JPA mengambil maklum akan pandangan Cuepacs dan pelbagai pihak berhubung cadangan waktu bekerja empat hari seminggu yang telah disiarkan melalui media baru-baru ini.

“Walaupun beberapa negara kini sedang melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu secara percubaan, namun JPA berpandangan pendekatan ini hendaklah dilihat secara holistik terutama dari segi kesesuaian serta keberkesanan terhadap struktur perkhidmatan awam di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Shafiq berkata, JPA juga amat mengambil peduli akan kesan dan impak pelaksanaan sebarang dasar baharu terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya ketika kerajaan dalam proses merancakkan semula ekonomi negara.

Katanya, JPA akan sentiasa mengkaji pelbagai aspek dari segi kemudahan, kemajuan kerjaya dan penambahbaikan proses kerja yang menjurus ke arah peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan awam berpaksikan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.