‘Pengecut’, Wan Saiful minta Zahid bersara agar negara kembali stabil

‘Pengecut’, Wan Saiful minta Zahid bersara agar negara kembali stabil

Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, Ahmad Zahid Hamidi 'terlalu terdesak' untuk menjadi perdana menteri dan menjadi dalang di sebalik ketidakstabilan politik negara.

Wan Saiful Wan Jan menggelar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ‘pengecut’ kerana menolak pemilihan Umno diadakan sebelum pilihan raya umum ke-15.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi agar “bersara”, mendakwa ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjadi “dalang” di sebalik ketidakstabilan politik negara.

Beliau berkata, persaraan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu akan memulihkan kestabilan negara.

“Zahid dalang yang akan terus berkomplot kerana terlalu terdesak mahu menjadi perdana menteri,” katanya dalam catatan Facebook.

“Kamu liabiliti kepada semua di keliling kamu kerana fokus kamu hanya mencipta ketidakstabilan.

“Lebih baik kamu bersara supaya kestabilan kembali kepada negara.”

Beliau mendakwa Zahid ialah dalang di sebalik langkah 15 orang ahli Parlimen Umno “mengkhianati kerajaan sendiri” Ogos lepas, apabila mereka menandatangani akuan berkanun menyokong Anwar menjadi perdana menteri, dan kini memberi tekanan kepada Ismail Sabri Yaakob.

“Ada sesiapa percaya bahawa Zahid tak akan rebut kuasa daripada Ismail Sabri? Bodohlah sesiapa yang percaya Zahid betul-betul akan pertahan Ismail,” katanya.

Wan Saiful turut menggelar Zahid “pengecut” kerana menolak pemilihan Umno diadakan sebelum pilihan raya umum ke-15.

Beliau turut mendakwa Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak menjadi “punca kepada krisis politik yang sengaja mereka cipta semata-mata untuk menyelamatkan diri”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.