
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dan menurut beliau, kematian warga emas tersebut disebabkan jangkitan kuman yang teruk.
Warga emas berasal dari Kuala Nerang, Kedah, meninggal dunia di Hospital King Faisal setelah dirujuk pakar kesihatan Lembaga Tabung Haji (TH).
Selain itu, Idris berkata, setakat Sabtu lalu, seramai 13 jemaah haji Malaysia sedang dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah manakala tiga lagi di Hospital Arab Saudi.
“Tabung Haji sentiasa prihatin dengan kebajikan setiap jemaah, terutama dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya dalam sidang media di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat dan penginapan jemaah Malaysia.
Selain itu, Idris mengingatkan jemaah haji supaya sentiasa mematuhi segala peraturan dikeluarkan kerajaan Arab Saudi dan mengikut arahan petugas TH.
“Saya berharap semua jemaah haji Malaysia mengelakkan diri dari terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Kerajaan Malaysia dan TH sentiasa memantau dengan teliti berhubung perkara berkaitan isu keselamatan di Tanah Suci dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan jemaah haji supaya terus menjaga kesihatan dan tidak terlalu terdedah dengan cuaca panas yang boleh menyebabkan strok haba.