Adakah belajar bahasa Arab cerminkan pemikiran penjajah, kata pemimpin PBB

Adakah belajar bahasa Arab cerminkan pemikiran penjajah, kata pemimpin PBB

Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata begitu malang sekali apabila PAS mempunyai pemimpin yang cetek pemikiran.

Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Islam menggalakkan penganutnya menuntut seberapa banyak ilmu yang boleh.
PETALING JAYA:
Seorang menteri Sarawak membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang berkata mereka yang mendesak penguasaan Bahasa Inggeris, terperangkap dalam pemikiran zaman penjajah.

“Begitu malang untuk PAS apabila mempunyai pemimpin yang cetek pemikiran,” kata Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga naib presiden PBB, iaitu tunjang utama gabungan kerajaan Sarawak.

Beliau berkata, Islam menggalakkan penganutnya menuntut seberapa banyak ilmu yang boleh dan kemahiran menggunakan pelbagai bahasa membolehkan seseorang berkomunikasi lebih baik dengan seluruh dunia.

“Pandai berbahasa Inggeris tidak bermaksud seseorang mempunyai pemikiran zaman penjajah,” katanya. “Bahasa Arab bukan bahasa di rantau kita. Adakah belajar bahasa Arab bermakna kita mempunyai pemikiran penjajah? Tidak.”

“Jangan jadi katak bawah tempurung,” katanya yang menggunakan peribahasa Melayu untuk mereka yang berfikiran jahil.

Karim adalah menteri pelancongan dan anggota kanan dalam kerajaan Sarawak. Bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi di Sarawak di bawah perlembagaan negeri.

Karim berkata beliau tidak terkejut dengan komen Hadi mengenai Bahasa Inggeris kerana ia dikeluarkan oleh orang sama yang meremehkan kaum Dayak pada 2009 apabila beliau berkata hanya Dayak bercawat yang mengundi Barisan Nasional (BN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.