
Setiausaha PDRM Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan mengesahkan tiada anggota UTK terlibat dalam kes itu.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam kejadian tersebut,” katanya.
Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya siasatan mengesahkan terdapat sebarang bentuk pelanggaran kod etika dan tatasusila oleh mana-mana anggota keselamatan semasa menjalankan penugasan di majlis tersebut.
Katanya, polis sentiasa menghargai pengamal media dan menghormati peranan mereka dalam menyebar informasi kepada masyarakat, khususnya bagi membantu memerangi jenayah.
Menurutnya, hubungan erat pengamal media dan polis selama ini akan dikekalkan agar masyarakat mendapat maklumat tepat melalui sumber sahih.
Sebelum ini, dilaporkan Geramm mendakwa tiga petugas media dikasari anggota pasukan keselamatan dalam majlis pelancaran satu parti politik di Tanah Merah, Kelantan, semalam.