
Annuar yang mengetuai Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu menangani cabaran peningkatan kos sara hidup berkata, melalui pertemuan itu mereka boleh memberikan idea menarik untuk dipertimbangkan bagi menyelesaikan krisis yang berlaku.
“Saya nak tawarkan mereka yang ketua-ketua demo itu ada masa datanglah jumpa saya, saya nak dengar idea (mereka) saya pun bukanlah pandai nak buat sorang-sorang.
“…tapi yang pandai demo itu kalau mereka nak jumpa saya, nak bantu saya cari jalan, saya nak bekerja tapi saya bukan ‘Superman’, kalau ada orang yang ada idea bagus memang kita jemput,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Penghargaan Industri Ekonomi Digital Malaysia.
Beliau juga tidak pernah menghalang mana-mana pihak melakukan demonstrasi memandangkan Malaysia negara demokrasi.
Pada Jumaat, hampir 100 individu menghadiri himpunan aman membantah kenaikan harga barang.
Turut hadir pada himpunan itu termasuk Setiausaha Agung Amanah Mohd Hatta Ramli, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah Faiz Fadzil.