Pelantikan ‘kontroversial’ cemar sifat berkecuali Suhakam, kata Suaram

Pelantikan ‘kontroversial’ cemar sifat berkecuali Suhakam, kata Suaram

Pelantikan individu tertentu sebagai pesuruhjaya baharu juga dikhuatiri menjejaskan kredibiliti penemuan Suhakam di mata masyarakat awam.

Menurut Suaram, pelantikan pesuruhjaya baharu itu tidak mengikut Akta Suhakam, yang menyatakan satu jawatankuasa mesti dibentuk terlebih dahulu untuk dirujuk mengenai perkara itu.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam pelantikan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang baharu dengan berkata, ia telah hilang sifat berkecuali sebagai institusi hak asasi manusia negara.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata, pelantikan Ketua Umno Selayang Hasnal Rezua Merican Habib Merican dan Ketua Wanita Umno Bahagian Kulim Nazira Abdul Rahim dalam suruhanjaya itu menjejaskan sifat berkecuali suruhanjaya itu.

“Dengan pelantikan dua individu ini, kami bimbang kuasa yang diberikan kepada Suhakam untuk menyiasat aduan hak asasi manusia dan membantu kerajaan dalam perundangan berkaitannya akan terjejas teruk,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pelantikan mereka juga boleh menjejaskan kredibiliti penemuan suruhanjaya itu di mata masyarakat awam.

Suaram juga bimbang mengenai pelantikan bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Nordin Ibrahim kerana beliau sebelum ini mempersoalkan projek penyelidikan Suhakam mengenai pengiktirafan jantina ketiga.

“Kami bimbang pelantikannya akan membantutkan keupayaan suruhanjaya itu dalam menjalankan penyelidikan yang mungkin sensitif dan kontroversial bagi eksekutif, tetapi sejajar dengan objektif teras Suhakam,” katanya.

Pelantikan pengerusi Rahmat Mohamad juga mengundang kritikan kerana beliau dilaporkan bersama mengarang kertas kerja pada 2019 yang meyakinkan Majlis Raja-raja untuk menolak ratifikasi Statut Rom, yang menghendaki Malaysia menuruti keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pesuruhjaya lain yang dilantik ialah Noor Aziah Mohd Awal, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ragunath Kesavan, Dr Chew Chee Ming dan Mary @ Mariati Robert.

Sevan berkata, pelantikan kontroversial itu berpunca daripada ketiadaan ketelusan dan pengawasan Parlimen terhadap keseluruhan proses pemilihan pesuruhjaya. Orang ramai dan masyarakat awam tidak tahu-menahu mengenai perkara ini, tambahnya.

Tambahnya, pelantikan itu juga tidak mengikut Akta Suhakam, yang menyatakan satu jawatankuasa mesti dibentuk terlebih dahulu untuk dirujuk mengenai perkara itu, dengan tiga anggotanya daripada masyarakat awam.

“Masyarakat awam kebanyakannya tidak tahu tentang pembentukan, komposisi jawatankuasa, dan kriteria pemilihan bagi pelantikan pesuruhjaya baharu ini,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelantikan lapan pesuruhjaya baharu, lebih dua bulan selepas penggal sembilan pesuruhjaya terdahulu tamat pada 27 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.