‘Bangang’, 6 bulan harga barang naik baru tubuh pasukan khas, kata Anwar

‘Bangang’, 6 bulan harga barang naik baru tubuh pasukan khas, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata penubuhan pasukan itu sepatutnya diadakan lebih awal sebelum kenaikan harga barang.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa rakyat menolak pemimpin politik yang merompak harta rakyat dan rasuah.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyifatkan kerajaan sebagai “bangang” apabila hanya bertindak menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani harga barang termasuk ayam selepas enam bulan rakyat bergelut dengan kenaikan harga barang.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu sepatutnya boleh diadakan lebih awal sebelum kenaikan harga barang dan berusaha membendungnya lebih awal.

“Harga barang sudah naik enam bulan sebelum Raya Puasa, ini nak masuk Raya Haji, lepas ini Raya Cina, baru minggu lalu tubuh jawatankuasa Kabinet, ini kerajaan apa?

“Saya pernah beberapa tahun dalam kementerian, dengar saja nak naik harga barang, sebelum naik sebulan, dua bulan sebelum nak raya kita tubuh jawatankuasa Kabinet tangani masalah, jadi boleh kawal harga.

“Sekarang harga sudah naik melambung RM13, RM14 1kg ayam baru buat jawatankuasa Kabinet…’bangang’, tak membantu sama sekali masalah rakyat, tak prihatin,” katanya ketika berucap dalam ceramah jelajah harapan Selangor di Tanjong Karang.

Ucapan Anwar dipercayai merujuk kepada langkah kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup, Rabu lalu.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata pasukan itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Dalam ceramah turut dihadiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari selain pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain, Anwar turut menggesa rakyat menolak pemimpin politik yang merompak harta rakyat dan rasuah sambil menyuarakan keyakinan Selangor akan kekal bawah gabungan itu.

“Saya yakin Selangor kita dapat pertahan dengan bergaya pada PRU nanti. Orang kata kita bukan kerajaan Islam kerana berbaik dengan DAP…’podah’ ini hanya politik orang bebal.

“Muflis idea apabila berbicara soal agama, bicara soal kaum tetapi mendera rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.