
Kejadian berlaku pada 2 petang ketika mangsa, Mohd Adnan Johdi, 50, serta dua anak lelakinya Hakimi, 15, dan Mohamad Mustaqkim, 17, sedang membersihkan kolam takungan itu.
Bagaimanapun, bot dinaiki tiga beranak itu karam menyebabkan Adnan dan Hakimi hilang manakala seorang lagi anaknya, Mustaqkim berjaya menyelamatkan diri.
Menceritakan kejadian itu, Mustaqkim berkata, mereka bertiga membuat kerja membersihkan kolam takungan tersebut sejak 11 pagi.
“Kami mengutip sampah, memotong daun teratai dan meletakkannya dalam bot. Malangnya, bot kami semakin berat dan mula tenggelam.
“Saya hanya sempat melihat ayah cuba menyelamatkan adik yang tidak pandai berenang, sebelum saya berenang ke tepi kolam,” katanya menurut laporan Bernama.
Di lokasi kejadian, kelihatan anak perempuan dan isteri Adnan yang menangis ketika melihat mayat bapa kepada 10 orang anak, dibawa ke tebing kolam oleh anggota bomba dan penyelamat Selangor.
Difahamkan, Adnan merupakan kontraktor yang melakukan kerja pembersihan kolam berkenaan.
Sementara itu, Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata, mayat Adnan ditemukan kira-kira 5km dari lokasi bot mereka tenggelam pada 5.12 petang, manakala Hakimi ditemukan kira-kira 10km dari tempat kejadian pada 6.56 petang.
Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 2.15 petang.
“Pasukan penyelamat di air menggunakan teknik ‘grappling iron’ bagi mengesan dua mangsa tersebut dalam kolam takungan dengan kedalaman 30m,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Kajang.