Gabungan Digi-Celcom luar bidang kuasa MyCC, kata pegawai eksekutif

Gabungan Digi-Celcom luar bidang kuasa MyCC, kata pegawai eksekutif

Ismail Iskandar mejelaskan aktiviti perkhidmatan telekomunikasi bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Cadangan penggabungan Digi dan Celcom tidak dibantah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, yang bertanggungjawab ke atas aktiviti perkhidmatan telekomunikasi.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak berhak untuk campur tangan dalam cadangan penggabungan antara Digi dan Celcom kerana ia berada di luar bidang kuasanya, kata Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.

Ismail menjelaskan aktiviti perkhidmatan telekomunikasi bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Walaupun Akta Persaingan terpakai kepada mana-mana aktiviti komersial di Malaysia, akta yang sama menetapkan bahawa ia tidak terpakai kepada aktiviti komersial di bawah empat sektor, termasuklah sektor telekomunikasi dan multimedia.”katanya dalam kenyataan.

Menurut Ismail, penggabungan dalam sektor telekomunikasi dan perkara-perkara persaingan yang berkaitan melalui peruntukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Beliau turut berkata langkah pindaan Akta Persaingan oleh MyCC yang akan memperkenalkan rejim kawalan penggabungan sedang berjalan lancar.

“Namun sekali lagi perlu ditekankan bahawa rejim penggabungan ini akan mengecualikan, antara lain, sektor di bawah bidang kuasa MCMC.” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan wujudnya gesaan untuk MyCC campur tangan dalam cadangan penggabungan antara kedua-dua syarikat telekomunikasi tersebut.

Semalam, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa MyCC campur tangan bagi menghalang penggabungan Digi dan Celcom, mengatakan penggabungan itu akan mengurangkan pilihan dalam pasaran dan khuatir pengguna terpaksa membayar harga lebih tinggi.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, turut berkata penggabungan pengendali perkhidmatan mudah alih yang kedua dan ketiga terbesar negara itu akan mencetuskan monopoli, sambil menambah ia tidak sepatutnya diluluskan, kecuali dengan syarat tertentu yang ditetapkan kerajaan.

SKMM pada Rabu berkata, ia tidak membantah cadangan penggabungan itu yang akan membentuk pengendali perkhidmatan mudah alih terbesar.

Ia telah menjalankan penilaian menyeluruh terhadapnya dan Digi dan Celcom telah menyatakan komitmen untuk mengatasi isu berkaitan persaingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.