
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau, Mohd Sharenliza Ghazali berkata, pasukan bot peronda APMM dikerah ke lokasi untuk pengesahan, selepas menerima aduan daripada ejen bot itu.
Setiba di sana, katanya, pasukan bot peronda melakukan pemeriksaan lanjut dan mendapati dua warga Thailand berusia 37 dan 39 tahun cedera.
“Seorang daripadanya cedera di kepala, manakala seorang lagi melecur di bahagian perut,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata, kedua-dua nelayan terbabit ditahan dan sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam pergaduhan itu turut dirampas.
“Nelayan yang cedera itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kerian untuk rawatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.