Rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan cetus persoalan penting mengenai penarikan diri hakim

Rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan cetus persoalan penting mengenai penarikan diri hakim

Garis panduan mungkin diperlukan untuk memastikan penarikan diri hakim mempunyai asas undang-undang yang kukuh.

Najib Razak mahu Mahkamah Persekutuan menerima keterangan baharu menunjukkan bahawa hakim Nazlan Ghazali mempunyai ‘penglibatan peribadi’ dalam penubuhan SRC.
PETALING JAYA:
Persoalan utama yang terungkap dalam rayuan Najib Razak kepada Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan jenayahnya dalam kes SRC International adalah sama ada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Ghazali, sepatutnya hilang kelayakan sebagai hakim perbicaraan atas dakwaan wujudnya konflik kepentingan.

Melalui usul yang difailkan pada 7 Jun, Najib meminta mahkamah menerima keterangan baharu, yang didakwanya sebelum ini tidak tersedia, menunjukkan Nazlan – peguam am Maybank dan setiausaha syarikat antara 2006 dan 2015 – mempunyai “penglibatan peribadi” dalam penubuhan SRC; dan hadir pada mesyuarat yang membincangkan pinjaman RM4.17 bilion untuk 1MDB memperoleh Tanjong Energy.

“Penglibatan” sedemikian menjadikan Nazlan saksi berpotensi dalam perbicaraan Najib berkaitan 1MDB – kini sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi yang lain – dan menimbulkan konflik kepentingan, dakwa Najib.

Atas dasar itu, katanya, Nazlan sepatutnya menarik diri daripada menjadi hakim perbicaraan bagi kes SRC.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul dalam afidavitnya berhujah jawatan Nazlan di Maybank sebelum ini tiada kaitan dengan perbicaraan kes SRC.

Beliau berkata, pengetahuan yang didakwa dimiliki hakim itu mengenai pinjaman Maybank kepada 1MDB tidak berkaitan dengan isu-isu dalam kes SRC, dan tidak menghalang Nazlan daripada menghakimi kes itu.

Hakim dan pesuruhjaya kehakiman yang menarik diri daripada kes berkaitan 1MDB (mengikut arah jam dari kiri atas) Sofian Razak, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Liza Chan, Adlin Majid, Arief Emran Arifin dan Quay Chew Soon.

Ashrof juga berhujah bahawa tugas Nazlan dengan Maybank diketahui umum, malah oleh Najib sendiri, yang tidak pernah membangkitkan sebarang bantahan.
Walau apa pun, katanya, dokumen yang ingin dikemukakan Najib tersedia untuknya semasa perbicaraan sedang berjalan.

Selain peraturan biasa berkenaan penerimaan keterangan baharu dan penilaian sama ada Nazlan sememangnya cukup “terlibat” untuk menjadi saksi berpotensi seperti yang didakwa, kes itu menimbulkan beberapa persoalan penting mengenai penarikan diri hakim yang mungkin perlu diteliti Mahkamah Persekutuan.

Satu persoalan utama ialah sejauh mana hubungan antara penimbang tara dan senario berfakta atau pihak-pihak dalam pertikaian sebelum kemungkinan situasi konflik kepentingan tercetus.

Skandal 1MDB menyaksikan beberapa insiden penarikan diri dan permintaan agar hakim berundur. Persoalannya adalah sama ada segelintir daripadanya mempunyai asas undang-undang yang kukuh.

Pada Julai 2018, Badan Peguam membantah Hakim Mahkamah Tinggi, Sofian Razak, mendengar kes Najib berkaitan SRC kerana adiknya seorang ADUN Umno di Pahang.

Bulan lepas, Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri daripada mendengar permohonan untuk Peguam Diraja Jonathan Laidlaw mewakili Najib di Mahkamah Persekutuan kerana ahli keluarga terdekatnya ahli Umno.

Pada Jun 2021, Pesuruhjaya Kehakiman Liza Chan menarik diri daripada saman sivil 1MDB terhadap Najib berdasarkan persahabatannya dengan bekas perdana menteri itu, walaupun mereka tidak berhubung selama beberapa tahun.

Pesuruhjaya Kehakiman Adlin Majid dan Arief Emran Arifin juga menarik diri kerana firma guaman tempat mereka berkhidmat sebelum dilantik pernah bertindak bagi pihak 1MDB dan SRC, walaupun mereka sendiri tidak terlibat.

Seorang lagi pesuruhjaya kehakiman, Quay Chew Soon, secara sukarela memberitahu pihak dalam saman sivil berkaitan 1MDB tentang kemungkinan konflik atas sebab yang sama.

Persoalan lain yang berkaitan juga mungkin perlu dipertimbangkan, termasuk bila dan dalam keadaan apa pendedahan menjadi wajib; bila, bagaimana, dan kepada siapa ia mesti dibuat; dan sejauh mana pendedahan diperlukan.

Pada masa ini, hakim dibiar mengendalikan perkara sedemikian sendiri, dipandu oleh prinsip keadilan asasi tetapi sentiasa ditafsirkan mengikut hati nurani sendiri. Ini mengakibatkan tiadanya keseragaman, dan dalam beberapa kes, kecelaruan.

Mungkin penyelesaian jangka panjangnya adalah merangka tatakelakuan berkenaan subjek ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.