
Bernama melaporkan, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelantikan itu lebih dua bulan selepas tempoh perkhidmatan pesuruhjaya yang kesembilan sebelum ini, tamat pada 27 April.
Rahmat pernah berkhidmat sebagai setiausaha agung Pertubuhan Perundingan Undang-undang Asia Afrika dari 2008 hingga 2016. Pakar undang-undang itu juga pengerusi Institut Sukan Negara (ISN).
Pada Rabu, hakim Mahkamah Rayuan yang telah bersara, Mah Weng Kwai menggesa Putrajaya melantik pesuruhjaya Suhakam baharu dengan segera atau Malaysia berisiko kehilangan kerusinya dalam Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, Ismail dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Rahmat bersama tujuh lagi anggota baharu Suhakam bagi sesi 2022-2025 yang berkuat kuasa pada 22 Jun lalu, telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Beliau berkata, turut dilantik Noor Aziah Mohd Awal, Mohamad Nordin Ibrahim, Chew Chee Ming (Sarawak), Mary@Mariati Robert (Sabah), Hasnal Rezua Merican Habib Merican, Nazira Abdul Rahim dan K Ragunath.
“Semoga lantikan yang inklusif ini akan lebih memperkasakan Suhakam dalam melaksanakan aktiviti-aktivitinya demi kesejahteraan negara,” katanya.