
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata tarikh itu dimuktamadkan secara majoriti pada Mesyuarat Majlis Am, 20 Mac lalu.
Beliau berkata, MTUC telah bertemu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk mendapatkan nasihat mengenai aduan bekas presiden Abdul Halim Mansor yang mempertikaikan kesahihan TDC.
“JPPM telah menyatakan bahawa Mesyuarat Majlis Am adalah badan tertinggi bagi membuat keputusan antara 2 persidangan TDC.
“MTUC akan meneruskan persidangan sebagaimana yang diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Am kerana sehingga kini tiada apa-apa perintah mahkamah yang menghalang persidangan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.
TDC akan dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai tetamu kehormat, katanya.
Terdahulu, FMT melaporkan Halim telah memfailkan injunksi untuk menghalang kepimpinan sedia ada daripada mengadakan mesyuarat pada Ahad.
Menurut sumber MTUC, peguam Halim memfailkan afidavit pada Selasa bersama perakuan segera dan mereka menjangkakan mahkamah akan membuat keputusan hari ini.
Kamarul berkata notis persidangan telah dikeluarkan secara emel kepada semua gabungan pada 6 April.
Katanya, TDC akan dihadiri oleh 115 kesatuan gabungan meliputi 509 perwakilan manakala 12 kesatuan tidak dapat hadir selepas terlepas tarikh akhir untuk menyerahkan borang perwakilan.
“Pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Mesyuarat Majlis Am akan terus berusaha untuk menghalang persidangan ini sepertimana yang berlaku semasa mesyuarat persidangan yang lepas.
“Untuk rekod, semasa pemilihan (MTUC) yang lepas, terdapat kumpulan yang cuba mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang pemilihan tersebut daripada berlaku. MTUC akan terus menjalankan tanggungjawab dan tindakan adalah selaras dengan perlembagaan bagi memastikan MTUC terus dihormati.”