
Mahkamah sepatutnya memberikan keputusannya pada 7 Julai tetapi susulan pengurusan kes hari ini, hakim perbicaraan Zaini Mazlan kini akan menyampaikan keputusannya jam 9 pagi pada 1 Sept.
“Tiada alasan diberikan untuk menjadualkan semula tarikh penghakiman,” kata peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader kepada pemberita.
Timbalan Pendakwa Raya Poh Yin Yinn mewakili pihak pendakwaan, manakala Rosmah turut diwakili peguam, Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork.
Poh berkata, Zaini mahu menyampaikan keputusan pada Ogos namun kedua-dua pihak hanya bersetuju bagi tarikh pada September.
Pada 12 Mei, Zaini berkata, beliau mencadangkan untuk menyampaikan penghakiman penuhnya selepas memanggil bekas perdana menteri Najib Razak untuk membela diri.
Rosmah, 70, didakwa meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.
Beliau juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016.
Rosmah dikatakan menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta, di sini, pada 7 Sept 2017.
Kesnya bermula pada 5 Feb 2020 dan Zaini memerintahkannya untuk membela diri pada 18 Feb tahun lalu. Pembelaan menutup kes pada 23 Feb.
Pendengaran itu mengambil masa 42 hari.
Pendakwaan memanggil 23 saksi dan pembelaan pula memanggil dua orang termasuk Rosmah, yang memberikan keterangan dari kandang saksi.
Menurut pendakwaan, Rosmah gagal telah gagal untuk menyangkal anggapan di bawah Akta SPRM bahawa beliau telah meminta dan menerima rasuah dan keterangannya kekal sebagai penafian semata-mata.
Bagaimanapun, pembelaan berhujah bahawa Rizal yang menggunakan nama Rosmah untuk meminta dan mengambil rasuah.