Darell tahu parti mana, jangan macam orang bodoh nak tanya saya, kata Ongkili

Darell tahu parti mana, jangan macam orang bodoh nak tanya saya, kata Ongkili

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, Darell sendiri tahu jawapannya kerana semua pendedahan itu terkandung dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah Pati yang dilaksanakan sebelum ini.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili berkata, semua pendedahan membabitkan parti komponen BN itu terkandung dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah Pati yang dilaksanakan sebelum ini.
KOTA KINABALU:
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili berkata, beliau tidak perlu menjawab persoalan Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking yang memintanya supaya didedahkan parti komponen BN yang terlibat menggunakan pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk kepentingan politik.

Katanya, Darell sendiri tahu jawapannya kerana semua pendedahan itu terkandung dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah Pati yang dilaksanakan sebelum ini.

“Saya tidak menyatakan nama parti tertentu (yang menyalahgunakan Pati untuk kepentingan politik), saya hanya menyampaikan apa yang terkandung dalam RCI, dalam siasatan berkenaan ada yang sebut nama parti itu.

“Ahli Parlimen Penampang pandai-pandai pula mau tanya siapa (parti itu), pergilah baca pendengaran RCI, semua ada di situ jadi tidak payah macam orang bodoh mau tanya,” katanya ketika ditemui selepas perasmian persidangan perwakilan tahunan PBS, di sini, hari ini.

Semalam, Ongkili mendakwa, sebuah parti dalam BN telah menyalahgunakan Pati di Sabah untuk meraih undi

Tanpa menyebut parti mana, beliau berkata, penglibatan parti terbabit meraih undi dari Pati telah terbukti dalam RCI mengenainya di Sabah.

Dakwanya lagi, perkara berkenaan telah menyebabkan senarai pengundi di Sabah menjadi ‘kotor’.

Sementara itu, Ongkili berkata, tindakan parti komponen BN itu secara jelas telah memberi ancaman kepada kedaulatan negeri itu.

Katanya, PBS sebelum ini telah lama membuat aduan serta laporan polis berhubung perkara itu tetapi sehingga kini tiada tindakan susulan dibuat.

“Sudah pasti (mengancam kedaulatan), sangat jelas, ia menyalahgunakan hak-hak orang Sabah, kerajaan Sabah, sebab itu saya katakan sudah sangat lama tapi belum ada tindakan yang cukup jelas dan munasabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, PBS berharap isu Pati di Sabah akan dapat diselesaikan susulan penubuhan jawatankuasa di peringkat negeri yang dipengerusikan oleh timbalan ketua menteri Jeffrey Kitingan.

“Kita amat berharap agar perkara ini diteruskan oleh GRS (Gabungan Rakyat Sabah) untuk mendesak agar setiap rekomendasi dilaksanakan dengan segera demi kemakmuran dan keselamatan negeri kita.

“Hasil jawatankuasa ini juga akan dibentangkan dalam Majlis Khas MA63 supaya syor-syor tindakan dapat dikemukakan kepada kabinet persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, di samping itu, PBS juga ingin mengulangi pendirian agar jawatankuasa dwi-partisan ditubuhkan untuk mendapatkan input dari semua parti politik di Sabah dalam menangani masalah kebanjiran Pati di Sabah.

Katanya, perkara itu seterusnya perlu dibahas di Dewan Undangan Negeri (DUN) agar semua pihak boleh memainkan peranan untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang telah lama bertapak di Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.