Dakwaan gangguan seksual dalam LRT, RapidKL sahkan terima laporan

Dakwaan gangguan seksual dalam LRT, RapidKL sahkan terima laporan

Laporan itu dibuat seorang wanita 7 malam tadi selepas mendakwa didekati lelaki ketika berada dalam tren LRT laluan Kelana Jaya.

RapidKL menjelaskan, pasukan tindakan khas, polis bantuan Prasarana sedang giat meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesahkan dakwaan tersebut.
PETALING JAYA:
RapidKL hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang penumpang wanita yang didakwa mengalami gangguan seksual ketika berada dalam tren LRT laluan Kelana Jaya seperti tular di media sosial, semalam.

Dalam kenyataan di Facebook, RapidKL menjelaskan, pengadu menaiki tren dari stesen LRT Pasar Seni, jam 7 malam, mendakwa kurang selesa dengan tindakan seorang lelaki yang berdiri rapat di belakangnya.

Katanya, susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pantai oleh pengadu hari ini.

“Pasukan tindakan khas, polis bantuan Prasarana sedang giat meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesahkan dakwaan tersebut. RapidKL akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan,” katanya.

RapidKL menyeru pengguna rel dan bas yang berhadapan dengan sebarang situasi cemas atau kurang menyenangkan agar terus menghubungi khidmat pelanggan di talian 03-78852585.

Semalam, tular di Twitter seorang wanita menceritakan rakannya berdepan detik cemas ketika menaiki tren LRT di Pasar Seni.

Dalam ciapan di Twitter, dia mendakwa lelaki itu berdiri rapat di belakang rakannya sebelum wanita itu lari ke arahnya dalam keadaan menggigil dan menangis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.